Anuar meriahkan malam kemuncak ABPBH ke-34

Imej eksklusif sekian lama melekat dan menjadi tanda dagang buat penyanyi bersuara lunak, Anuar Zain, 51, sejak kembali aktif dalam dunia persada seni suara dua dekad lalu.

Ada dakwaan tersebar, jika tiada ratusan ribu ringgit jangan mimpi dapat mengundang Anuar untuk membuat persembahan.

Barangkali tanggapan ini timbul berikutan gaya dan penampilan segak yang ditonjolkan setiap kali berdepan dengan khalayak serta persembahan dijayakannya.

Meskipun si empunya diri tidak pernah meletakkan dirinya setinggi itu, namun pada penilaian, pakej itulah yang menjadi jenama buat penyanyi Keabadian Cinta dan Sedetik Lebih itu hingga hari ini.

Walaupun dua aspek berkenaan bagus untuk kerjaya seseorang selebriti, namun, ia boleh membawa masalah kepada Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain jika ada yang cuba memanipulasinya.

Anuar teruja diundang memeriahkan malam kemuncak ABPBH 34, apatah lagi, segmen yang bakal dijayakannya adalah tribute kepada tokoh seni yang amat dikagumi. – Agensi

“Pernah berlaku apabila ada penganjur persembahan meletakkan harga lebih tinggi kepada penganjur lain yang hendak mengundang saya.

“Ada kala jumlah yang diminta dua kali ganda daripada harga yang pengurusan letak. Apabila saya mendapat tahu mengenainya, tentulah saya terkejut.

“Tak sangka ada pelanggan sanggup bayar dengan jumlah yang tinggi. Bagaimanapun, perbuatan ini secara tidak langsung boleh membuatkan saya kehilangan ‘job’ jika penganjur beranggapan saya meletakkan bayaran terlalu mahal,” katanya.

Walaupun menerapkan aspek profesional dalam urusan kerjanya, namun, Anuar berkata, dia masih boleh bertolak ansur dari segi bayaran jika kena dengan caranya.

“Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan rakan yang takut untuk mengundang saya menyanyi. Alasan diberikan, mereka tidak mampu kerana bayaran yang dikenakan sangat mahal.

“Meskipun tidak selalu, tetapi saya masih boleh bertolak ansur. Kadang-kadang ada juga pihak yang teringin untuk mengundang saya menyanyi, tetapi kekurangan bajet. – Agensi