Mengenali Anuar Zain, penyanyi bersuara dinamik ini cukup sinonim dengan penghasilan produk bermutu.
Biarpun mengambil masa hingga peminat ternanti-nanti, apa yang pasti, bingkisan yang hendak dihadiahkan mestilah menepati ‘piawaian’ sendiri yang mementingkan ketelitian dan kesempurnaan.
Khabar terbaru, penyanyi Keabadian Cinta ini sudah menghubungi Numata iaitu kumpulan komposer tiga beradik dari Indonesia yang sering menyumbangkan karya kepada Anuar untuk mendapatkan ‘material’ baharu.
“Selama ini, kami ‘keep in touch’ dengan Numata yang pernah menyumbangkan lagu Ketulusan Hati, Kau Bunga Cintaku, Cinta Harus Dimiliki selain Lelaki Ini.
“Saya hubungi mereka untuk mendapatkan satu atau dua lagu yang sesuai,” katanya kepada media.
Kali terakhir Anuar tampil dengan lagu baharu adalah pada April tahun lalu di mana penyanyi kesayangan ramai ini merakamkan single Sendiri iaitu runut bunyi bagi drama Single Terlalu Lama.
Anuar mahu lagu baharu yang bakal dirakam mengekalkan konsep balada yang penuh dinamik seperti dimahukan peminat.
“Peminat sukakan balada yang penuh dinamik seperti lagu Lelaki Ini. Jadi, saya fikir lebih kepada konsep lagu begitu… Penuh dinamik baik daripada melodi dan lirik,” katanya yang berharap single baharu dapat dirakamkan dalam masa terdekat.
Anuar atau nama sebenar, Shahrul Anuar Zain, 52, sedia menerima karya komposer tempatan asalkan memiliki ciri-ciri yang dimahukan.
“Sebenarnya, saya cuba cari lagu dari Malaysia. Saya masih lagi menunggu beberapa lagu daripada komposer. Jadi, saya terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menyumbangkan lagu.
“Kita sudah ada beberapa lagu dan masih menunggu lagi beberapa karya lain dari seberang,” katanya kepada media selepas menjayakan Konsert Amal Karena Aku Cinta anjuran Bond Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) di Ipoh, baru-baru ini.
Yang turut hadir pada konsert amal itu adalah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah. Turut berkenan berangkat, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Konsert amal itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM130,000 untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Perak.
Pada malam itu, Anuar mendendangkan sembilan lagu iaitu Kau Bunga Cintaku, Keabadian Cinta, Karena Aku Cinta, Jera, Hanya Milikmu, Jangan Bersedih Lagi, Bila Resah, Lelaki Ini dan Sedetik Lebih.
Berkongsi mengenai konsert itu, Anuar berkata, idea dicetuskan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings Sdn Bhd, Ong Teng Boon.- Agensi