Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anugerah berkat jasa, ketulusan pendidik

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Guru atau disebut sebagai pendidik umpama lilin yang menjadi penyuluh untuk menerangi masa depan anak bangsa dengan curahan ilmu tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit. Mereka juga insan yang memberikan petunjuk terhadap kejayaan anak-anak didik.

    Kegigihan dalam menabur jasa bakti dan perkhidmatan penuh dedikasi untuk mendidik golongan penerus bangsa di negara ini sekali gus demi menjana perubahan yang proaktif dan progresif dalam meniti dunia pendidikan tanah air, berkat kesungguhan berbekalkan kecekalan serta ketulusan hati telah mencetus kejayaan kepada para penerima anugerah Hari Guru ke-34 pada tahun ini yang terdiri daripada empat penerima Anugerah Guru Berjasa, sembilan penerima Anugerah Guru Cemerlang dan 30 penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention).

    Semasa berlangsungnya Majlis Sambutan Hari Guru ke-34, Tahun 2024 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas, baru-baru ini pastinya memberikan peluang kepada penulis dalam turut sama menyaksikan hari penuh bersejarah itu dikelilingi insan-insan yang bergelar guru atau pendidik cukup disyukuri sambil mengenang segala jasa dan pengorbanan guru-guru suatu ketika dahulu demi memberikan didikan ilmu, pengalaman dan pengetahuan yang menjadikan siapa kita hari ini.

    Mengimbas kembali suasana selesai menerima anugerah-anugerah itu, rata-rata ungkapan rasa syukur terus terucap di bibir-bibir para penerima anugerah membalas ucapan tahniah daripada insan-insan sekeliling. Tidak dilupa juga, mereka turut menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan yang diberikan.

    SUMBANGAN PERKASA PENDIDIKAN ISLAM

    Salah seorang penerima Anugerah Guru Berjasa, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin antaranya menyampaikan nasihat khususnya kepada guru-guru masa kini dan akan datang agar sentiasa menyemai sikap untuk terus menimba dan melengkapkan ilmu pengetahuan serta kemahiran diri dari semasa ke semasa sehingga mereka mampu mencurahkan segala pengajaran kepada anak didik sebaik-baiknya.

    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Hajah Rusmatin bergambar semasa ditemui Media Permata. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    (Dari kanan) Dayang Rosni bersama rakan seperjuangannya, Hajah Nordinah. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    “Menjadi guru bukanlah suatu perkara yang mudah. Guru ini tidak besar tetapi ia membesarkan orang besar,” ujar beliau.

    Apabila diajukan pandangan mengenai perkembangan pendidikan agama khususnya aliran Arab di Negara Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin berkata penekanan pendidikan aliran berkenaan berkembang begitu pesat dan cukup membanggakan jika dilihat dari dahulu sehingga kini.

    Jelasnya, sebagai contoh di sekolah-sekolah aliran Arab peringkat menengah bukan sahaja melahirkan golongan pelajar berkelulusan dari Universiti Al-Azhar tetapi kini sebahagian mereka diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat kedoktoran.

    Dalam perkara ini jelas membuktikan kesungguhan usaha kerajaan melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama termasuklah Jabatan Pengajian Islam yang bukan sahaja menyediakan anak bangsa dengan asas pendidikan agama bahkan juga melahirkan golongan yang memiliki kepakaran khusus dalam aliran tersebut sekali gus dihasrat dapat sama-sama memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

    Menyentuh mengenai perjalanan kerjaya Yang Dimuliakan Pehin, berdasarkan perkongsian dari Kementerian Pendidikan, beliau mula berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPUSB) pada 1 April 1972 manakala jawatan terakhir beliau ialah sebagai Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri pada 1 September 1994 hingga 31 Ogos 2015. Kemudian beliau diambil semula berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara pada 1 September 2015 sehingga penghujung Ogos 2021.

    Yang Dimuliakan Pehin mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam bidang pendidikan, termasuk sebagai pensyarah dan pemimpin sekolah. Kepimpinannya dalam institusi pendidikan telah memberikan impak positif terhadap pembangunan akademik dan moral pelajar. Beliau berpengalaman mengajar mata pelajaran Fiqah di MPUSB yang kini dikenali sebagai Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Antara perkembangan dan kemajuan pendidikan yang telah diinisiatifkan oleh beliau adalah memantapkan penguasaan kemahiran bahasa Arab dalam usaha meningkatkan kemahiran bertutur dalam kalangan pelajar di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) dan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB). Di samping itu beliau juga memperkenalkan Pelajaran Dasar Islam (PDI) yang komponennya antara lain ialah Al-Quran termasuk pelajaran Ugama Islam yang mana mencerminkan visi beliau untuk melahirkan golongan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai asas agama yang kukuh.

    Selain sumbangan Yang Dimuliakan Pehin dalam menyediakan dasar pengajaran bahasa Arab di sekolah Arab, beliau turut terlibat dalam menanai amanah mengkategorikan fatwa-fatwa Mufti Kerajaan kepada bab-bab mengikut tajuk-tajuk fatwa tahun dikeluarkan.

    Penglibatan dan sumbangan akademik dan bukan akademik beliau turut dicapai dari segi kerja penyelidikan, hasil penulisan sama ada buku teks, buku sumber pengajaran, buku ilmiah dan pembentangan kertas-kertas kerja di persidangan.

    IKHLAS DAN SABAR KUNCI KECEMERLANGAN

    Antara prinsip yang perlu ada pada diri setiap guru adalah menjalankan tugas dengan niat yang ikhlas, menjaga amanah yang telah dipertanggungjawabkan, mempunyai sifat penyayang terhadap pelajar dan memastikan semua pelajar mendapat didikan yang terbaik. Keikhlasan dan kesabaran adalah kunci dalam semua perkara. Dengan menanam sifat keikhlasan dan sentiasa bersabar, dengan izin Allah SWT mudahlah bagi kita dalam menghadapi cabaran yg mendatang.

    Itulah antara luahan tulus yang disampaikan oleh Hajah Rusmatin binti Haji Matasim selaku salah seorang penerima Anugerah Guru Cemerlang ketika turut berkesempatan ditemui Media Permata pada majlis tersebut.

    Beliau yang kini memegang jawatan Pegawai Pendidikan Ugama dengan mengajar mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam di Sekolah Menengah St Margaret Seria turut menambah, seorang guru itu juga perlu memupuk sikap dan nilai murni dalam diri setiap pelajar yang mana ianya boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna serta menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama. Hal ini adalah sangat penting dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

    Ditanya mengenai pandangan peribadi tentang mustahaknya keseimbangan hidup dalam mencapai kesejahteraan meliputi kesihatan mental dan fizikal antara diri sendiri, keluarga dan kerjaya dalam kehidupan harian, insan pendidik berusia 44 tahun itu menekankan pengurusan masa amatlah penting dalam kehidupan beliau sebagai seorang wanita yang berkerjaya dan berkeluarga.

    “Saya perlu membahagikan masa saya antara diri sendiri, keluarga dan kerjaya. Sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk membuat persediaan yang rapi dan menggunakan masa sebaik-baiknya bagi menyeimbangkan ketiga-tiganya. Di samping itu juga penting bagi kita untuk melakukan riadah seperti senaman ringan, berjalan kaki dan seumpamanya bagi mengurangkan tekanan dan menguatkan lagi fizikal agar sentiasa sihat untuk menjalankan tugas,” jelasnya.

    Dalam usaha kita sama-sama meniti pemerkasaan dunia pendidikan negara secara holistik, Hajah Rusmatin menekankan secara peribadi bahawa semua pihak perlu memainkan peranan sama pentingnya di mana guru-guru adalah contoh teladan bagi para pelajar dalam membentuk sahsiah mereka.

    “Selain sebagai pendidik, guru juga seorang murabbi, oleh itu teruskanlah memberikan inspirasi kepada para pelajar kerana semua langkah dan tindakan kita akan memberi cerminan serta impak yang besar dalam kehidupan pelajar. Para pelajar kita merupakan bakal pemimpin pada masa akan datang.

    “Maka begitu penting juga adanya kerjasama antara ahli keluarga dan sekolah di mana jalinan ini adalah asas kepada kejayaan pendidikan dalam membentuk generasi yang berkemahiran dan berpendidikan. Oleh itu marilah kita bersama-sama berganding bahu, saling menyokong dan memperkasakan pendidikan dengan pendekatan yang holistik,” ujar beliau yang telah memulakan kerjaya dalam bidang perguruan pada 1 April 2006.

    ANAK DIDIK ADALAH AMANAH ALLAH

    Sentiasa berpegang kepada semangat berfikiran positif dan memahami bahawa mata pelajaran English Language bukanlah bahasa utama kita maka dalam hal ini cabaran itu memang ada tetapi dengan adanya pengalaman, keyakinan, kesabaran dan perbincangan dengan rakan-rakan sekerja akhirnya setiap permasalahan yang timbul dapat diatasi.

    Pegangan amalan itu antara yang dikongsikan oleh salah seorang penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru yang kini mengajar mata pelajaran English Language di Sekolah Rendah (SR) Awang Haji Mohd Yusof Katimahar, Kluster 4, Dayang Rosni binti Abidin semasa ditemui penulis pada majlis penuh bermakna tersebut.

    “Sentiasa berpegang teguh bahawa anak didik adalah amanah Allah SWT yang perlu diberikan perhatian sewajarnya dan sentiasa beranggapan mereka adalah anak sendiri bila mereka berada di sekolah.

    “Terus terang kerja sebagai seorang pendidik bukan hanya berakhir di sekolah malah ada yang perlu dibawa balik ke rumah dan alhamdulillah, ahli keluarga sangat memahami.

    Tetapi yang penting ketika berada di rumah, saya akan memastikan keluarga didahulukan, jika ada masa saya akan menyambung kerja sekolah semula. Saya juga memastikan mempunyai rehat secukupnya,” kongsinya lanjut, di mana beliau sudah berkhidmat sebagai seorang guru selama 33 tahun bermula dari SR Jerudong yang merupakan sekolah pertama beliau ditempatkan sebelum berkhidmat di SR Awang Haji Mohd Yusof Katimahar bermula tahun 2010 hingga sekarang.

    Dalam pada itu, Dayang Rosni turut mengungkapkan rasa syukur dan menjunjung kasih kehadapan Baginda Sultan atas titah perkenan pada Majlis Sambutan Hari Guru 2024 baru-baru ini bagi para guru di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk diberikan Cuti Ihsan semasa sesi penggal persekolahan mengikut garis panduan dan syarat yang ditetapkan yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2025.

    “Satu pengurniaan yang sangat bermakna kepada semua warga pendidik. Sekurang-kurangnya guru-guru tidak rasa tertekan sekiranya memerlukan cuti yang mendadak dan ini juga menunjukkan bagaimana kasih dan prihatin Baginda Sultan kepada kebajikan dan kesejahteraan warga pendidik di negara kita,” ucapnya tulus.

    Sebelum mengakhiri pertemuan, Dayang Rosni yang pada ketika itu berada di sisi seorang rakan seperjuangannya yang turut menerima anugerah yang sama, Hajah Nordinah binti Haji Untong, turut menaruh harapan semoga lebih ramai lagi generasi baharu yang akan menjadi pendidik demi agama, bangsa dan negara untuk lebih cekal menghadapi dunia pendidikan yang sangat mencabar seiring dengan arus perubahan dalam pendidikan holistik.

    “Kepada warga pendidik, bersama-sama kita sentiasa bersikap terbuka dengan apa jua perubahan dan sentiasa menanamkan sikap ingin belajar dengan apa jua kaedah baharu kerana ada masanya kita terpaksa keluar dari zon selesa kita untuk mencapai pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti,” ucapnya penuh harapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda