Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anugerah berprestij keusahawanan kembali buat edisi ke-18

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Shell LiveWIRE Brunei dengan rasminya melancarkan Anugerah Perniagaan Brunei Shell LiveWIRE edisi ke-18 dengan penganjuran hari terbuka yang berlangsung di Amfiteater Makmal Inovasi Brunei, hari ini.

    Hari terbuka yang diadakan berfungsi sebagai platform maklumat utama bagi para usahawan startup berdaftar dan pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memahami secara terperinci struktur pertandingan, proses permohonan, kriteria kelayakan dan garis masa penting yang perlu diikuti.

    Sesi taklimat telah dikendalikan oleh Pengarah Program Shell LiveWIRE Brunei, Awang Abdul Qawiem Yacob, yang berkongsi panduan praktikal kepada peserta mengenai langkah-langkah untuk berjaya dalam pertandingan berprestij ini.

    Tahun ini menandakan ulang tahun ke-18 penganjuran Anugerah Perniagaan Brunei Shell LiveWIRE, yang mencerminkan komitmen jangka panjang Shell LiveWIRE Brunei dalam mengiktiraf kejayaan dan impak keusahawanan di negara ini.

    Pertandingan tahun ini dibuka kepada dua kategori utama iaitu Kategori Startup untuk perniagaan berdaftar di Brunei yang telah beroperasi tidak lebih dari lima tahun dan menggunakan teknologi untuk membangunkan dan menyampaikan produk atau perkhidmatan inovatif, mempunyai sasaran untuk berkembang dengan cepat, menekankan pertumbuhan yang mampan dan belum pernah memenangi Anugerah Perniagaan Brunei Shell LiveWIRE sebelum ini.

    Antara yang hadir pada hari terbuka itu. – GAMBAR SERAHAN SHELL LIVEWIRE BRUNEI
    Peserta turut didedahkan dengan panduan untuk mencapai kecemerlangan perniagaan. – GAMBAR SERAHAN SHELL LIVEWIRE BRUNEI
    Awang Abdul Qawiem berkongsi panduan praktikal kepada peserta. – GAMBAR SERAHAN SHELL LIVEWIRE BRUNEI

    Kategori kedua ialah IPT terbuka kepada graduan REACH Pitch Day yang telah membangunkan prototaip atau perkhidmatan berasaskan teknologi, mendaftarkan perniagaan selepas pertandingan dengan pelan tindakan atau garis masa, menguji idea mereka melalui ujian perintis atau maklum balas pengguna dan belum pernah memenangi anugerah berkenaan sebelum ini.

    Permohonan bagi Anugerah Perniagaan Brunei Shell LiveWIRE kini dibuka secara rasmi dan akan ditutup pada 30 Jun. Para pemohon yang berminat boleh mendaftar melalui laman sesawang rasmi www.livewirebrunei.com/business-awards

    Anugerah ini bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada usahawan-usahawan cemerlang di Brunei Darussalam yang menunjukkan kecemerlangan dalam inovasi perniagaan dan operasi.

    Inisiatif ini turut menyediakan struktur bimbingan, pendedahan industri serta peluang untuk mengetengahkan perniagaan mereka kepada khalayak yang lebih luas.

    Sebagai sebahagian daripada program LiveWIRE Growth, anugerah perniagaan ini merupakan manifestasi misi Shell LiveWIRE Brunei dalam mencungkil potensi dan menyokong perjalanan keusahawanan – dari cetusan idea pertama sehingga penciptaan legasi yang berpanjangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda