Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anugerah BICTA 2023 pacu transformasi digital

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2023 secara rasmi bermula hari ini dengan majlis pelancaran yang berlangsung di Amfiteater, Bangunan Knowledge Hub (kHUB), Anggerek Desa.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancarannya dan seterusnya melawat Pameran BICTA ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Pada tahun ini, BICTA terus membawa tema ‘Negara Pintar Melalui Transformasi Digital’ yang menekankan kepentingan inovasi dan perkembangan teknologi baharu untuk mendokong usaha ke arah transformasi digital bagi memacu pembangunan ekonomi dan masyarakat di negara ini.

    Ke arah menggalakkan lebih banyak lagi penyertaan serta membuka peluang untuk penciptaan kreativiti dan menjana inovasi dalam ICT, beberapa pembaharuan kepada kategori-kategori pertandingan BICTA 2023 telah diperkenalkan.

    BICTA pada tahun ini mempertandingkan 10 kategori bagi penyertaan individu, pelajar-pelajar, syarikat-syarikat perniagaan, agensi-agensi kerajaan dan organisasi-organisasi yang berminat.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim semasa menghadiri Majlis pelancaran tersebut.
    ATAS & BAWAH: Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim mengadakan lawatan ke Pameran BICTA di ruang lain Bangunan Knowledge Hub (kHUB).

    Kategori berkenaan ialah kategori utama, kategori sekolah dan kategori silang yang mana ini tertakluk kepada kelayakan dan mana-mana penyertaan dalam kategori utama kecuali kategori sekolah yang dibolehkan untuk menyertai satu daripada kategori silang yang bersesuaian dengan produk yang dipertandingkan.

    Selain itu, BICTA 2023 turut mengetengahkan lima Anugerah Negara Pintar, khusus bagi penyertaan yang tidak memenangi mana-mana kategori pertandingan, tetapi telah memenuhi ciri-ciri aspirasi ‘Negara Pintar Melalui Transformasi Digital’.

    Ini bagi meningkatkan kualiti hidup, perkhidmatan awam, pendidikan, keselamatan, mobiliti orang ramai dan untuk mencapai kelestarian alam sekitar dalam lima sektor tertentu, iaitu pelancongan, pertanian, pembinaan, logistik dan pengangkutan, dan pendidikan.

    Aktiviti BICTA 2023 pula merangkumi BICTA Plus Bootcamp iaitu program bimbingan dan latihan khusus bagi peserta-peserta BICTA demi meningkatkan kemahiran dan keupayaan
    sebagai persiapan diri sebelum pertandingan.

    Antara topik-topik yang diketengahkan adalah ideation and validation, perancangan perniagaan dan kewangan, strategi pemasaran, kemahiran pitching dan pembentangan serta design and thinking.

    BICTA merupakan komponen di bawah Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA) di mana kualiti dan kategori yang dibukakan adalah selaras dengan piawaian APICTA.
    Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam APICTA setakat ini telah meraih empat kemenangan dan 29 anugerah merit.

    Pemenang-pemenang BICTA 2023 akan mewakili Negara Brunei Darussalam ke APICTA 2023 yang akan diadakan di Hong Kong pada penghujung tahun ini.

    Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah pengerusi-pengerusi bersama Jawatankusa Pandu BICTA 2023, iaitu Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dan Pengerusi IFB, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff.

    Maklumat lanjut mengenai BICTA dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang BICTA dan tarikh akhir bagi penghantaran penyertaan adalah pada 31 Ogos.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda