Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Sebagai seruan bagi golongan muda negara yang kaya dengan idea tersendiri dan tidak gentar kepada cabaran untuk memajukan negara ke hadapan serta memberikan nafas baharu kepada usaha pembangunan negara, terutama menjana inovasi dan kreativiti dalam industri ICT, Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2018 akan diadakan dengan membawa tema ‘Generasi Digital Dengan Satu Visi’.
Penganjuran BICTA 2018 merupakan tahun ke-15 anugerah itu diadakan di mana pertandingan ICT tahunan itu merupakan kerjasama di antara Kementerian Perhubungan, Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan Infocom Federation Brunei (IFB) dengan matlamat untuk merangsang inovasi dan kreativiti dalam industri ICT, dalam kalangan individu dan organisasi khususnya para pelajar dan perusahaan kecil dan sederhana serta juga untuk menyediakan penanda aras bagi perkembangan produk-produk ICT tempatan.
Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Pegawai Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar dalam sidang media mengenai Anugerah BICTA 2018 yang berlangsung di Bangunan AITI, Anggerek Desa, hari ini.
Tema BICTA 2018 memberikan penekanan kepada pentingnya untuk menggalakkan generasi digital asli yang boleh menjadi peneraju dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
“Ia adalah generasi digital kini, yang dibesarkan dalam zaman teknologi yang akan menghasilkan perkembangan teknologi terkini atau penyelesaian dan produk inovatif,” tambah Haji Jailani lagi selaku ketua bersama Sekretariat BICTA.

Beliau menyatakan harapan supaya Anugerah BICTA akan menjadi platform bagi generasi digital kita untuk mengetengahkan inovasi terkini dan menjadi sebagai batu loncatan ke arah kejayaan yang lebih besar.
BICTA 2018 dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Kategori Pelajar bagi pelajar-pelajar di sekolah menengah, Kategori Tertiari bagi pelajar-pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi serta Kategori Industri ICT bagi individu atau perusahaan berkaitan ICT.
Haji Jailani juga mendedahkan bahawa BICTA 2018 akan menganugerahkan Anugerah Penaung Diraja yang diberikan dua tahun sekali kepada produk terbaik daripada yang terbaik dalam kalangan semua kategori yang dipertandingkan.
Berkenan mengurniakan anugerah berkenaan kepada pemenang ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri semasa Penyampaian Anugerah BICTA 2018 yang dijadualkan diadakan pada 30 Ogos nanti di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Haji Jailani juga berkata, setiap tahun Jawatankuasa BICTA akan berusaha untuk memperbaiki program yang dilaksanakan dan pada tahun ini, mereka memperkenalkan program BICTA Plus di mana peserta-peserta yang disenarai pendekkan akan melalui dan mengikuti siri bengkel serta seminar.
BICTA Plus bermatlamat bukan sahaja untuk mempersiapkan para peserta untuk pertandingan berkenaan tetapi ia juga memberikan mereka ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk membangunkan produk yang bersedia untuk pasaran (market-ready).
Haji Jailani menjelaskan lagi bahawa pemudah cara dan jurulatih bagi BICTA Plus telah dipilih daripada pelbagai bidang industri supaya akan memberikan pandangan yang lebih holistik ke arah bagaimana pemaju dan usahawan boleh mengambil sesuatu produk daripada peringkat idea, kepada realisasi hingga ke pengkomersialan.
Sementara itu, seperti tahun-tahun sebelumnya, dua penyertaan terbaik bagi setiap kategori akan mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Anugerah APICTA 2018 yang akan diadakan di Guangzhou, China pada Oktober nanti.
Di majlis itu juga, penerangan mengenai Anugerah BICTA 2018 telah disampaikan oleh wakil daripada Jawatankuasa Kerja BICTA, Haji Hadi Iskandar bin Dato Paduka Haji Mohammad di mana beliau menerangkan bahawa penyertaan sudah dibukakan dan mengalu-alukan para pelajar daripada sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi serta pemain industri ICT untuk menyertai pertandingan berkenaan.