Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Anugerah Creative, Innovative, Products and Technological Advancement (CIPTA) Pengiran Muda Mahkota 2019 dilancarkan secara rasmi di Dewan Indera Kayangan, Empire Hotel and Country Club, pagi tadi.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hamzah bin Sulaiman dalam ucapannya selepas menyempurnakan pelancaran anugerah berkenaan berkata, aktiviti sains, teknologi dan inovasi bagi Wawasan 2035 bagi negara ini disokong oleh penduduk yang berkemahiran tinggi dan berpendidikan serta sebuah ekonomi produktif dan progresif berdasarkan pengetahuan dan inovasi.
“Dalam hal ini, CIPTA memainkan peranan penting dalam memupuk bakat muda yang berdaya cipta, kreatif dan inovatif di kalangan belia, pelajar dan individu di dalam negara dan negara anggota ASEAN,” jelas Yang Berhormat Dato.
Yang Berhormat Dato menambah lagi, dalam era di mana ekonomi mula beralih daripada sumber kepada pengetahuan, kualiti pendidikan menjadi pusat yang penting.
Dengan itu, Universiti Teknologi Brunei memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kerana mereka dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.


Pada masa ini, jelas Yang Berhormat Dato, Brunei menggunakan pelajar yang mempunyai berminat bukan sahaja dalam STEM, malah dalam STEAM untuk memasuki institusti pengajian tinggi, yang mana huruf A dalam STEAM adalah Art dan menggabungkan seni ke STEM dapat membantu untuk menambah pembelajaran dan menyelesaikan masalah serta menggalakkan pelajar untuk berfikir di luar kotak.
Yang Berhormat Dato juga menekankan kepentingan mempunyai pembelajaran yang kondusif untuk menyokong dan menggalakkan perkembangan sesebuah idea agar ia menjadi sebuah produk yang inovatif sambil menyeru pihak yang berkepentingan untuk bekerjasama untuk meningkatkan dan memperkasakan ekosistem inovasi supaya aspirasi negara untuk menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan dapat direalisasikan.
“Dalam konteks CIPTA, sebuah sistem sokongan dapat diadakan agar idea-idea yang mempunyai potensi pengkomersialan boleh dilindungi dengan IP-Protected dan terus diperkembangkan sehingga ia dapat dipasarkan,” kata Yang Berhormat Dato.
CIPTA telah diadakan dua tahun sekali sejak ia ditubuhkan pada tahun 2005 dan edisi kelapan dengan tema ‘Industri 4.0: Pertembungan dalam Inovasi’ ini adalah anjuran UTB dengan kerjasama Brunei LNG Sdn Bhd selaku penaja utama.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Haji Ahmad dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG Sdn Bhd, Patrice Girard.
Menurut Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman yang juga pengerusi Jawatankuasa Eksekutif CIPTA 2019, tema CIPTA tahun ini adalah gabungan di antara paradigma digital, fizikal dan kaji hayat dengan membangunkan teknologi digital daripada Revolusi Industri Ketiga.
Tema ini juga merupakan usaha menyokong salah satu strategi Wawasan 2035 untuk membangunkan masyarakat pintar dan dalam membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat selain melakar jalan bagi Brunei dan ASEAN untuk mencapai pertumbuhan mapan berdasarkan modal manusia, teknologi baharu dan berinovasi.
Pertandingan CIPTA 2019 terbahagi kepada tiga kategori iaitu Kategori Tempatan, Pertandingan Smart Junior dan Kategori ASEAN.
Kategori tempatan dibahagikan kepada Kategori 1: penciptaan produk, proses atau teknologi baru, Kategori 2: pengubahsuaian produk, proses atau teknologi sedia ada dan Kategori 3: penciptaan produk, proses atau teknologi baharu atau pengubahsuaian produk, proses atau teknologi sedia ada bagi pencipta muda. Manakala pertandingan Smart Junior pula diadakan untuk para pelajar berumur 12 hingga 14 tahun dan Kategori ASEAN dibahagikan kepada dua sub-kategori iaitu Kategori Ciptaan dan Inovasi baharu dan Kategori Pencipta Muda.
Pertandingan CIPTA ini merangkumi kesemua bidang sains, teknologi dan kejuruteraan dan dibukakan kepada semua sekolah, institusi teknikal dan vokasional, institusi tinggi, organisasi kerajaan dan swasta dan orang awam. Tarikh akhir untuk menyertai CIPTA 2019 adalah pada 31 Oktober dan maklumat lebih lanjut bolehlah diperolehi dari www.utb.edu.bn/cipta.