Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Industri pelancongan Negara Brunei Darussalam telah menerima pengiktirafan menerusi penganugerahan beberapa anugerah berprestij semasa Majlis Anugerah Standard Pelancongan ASEAN 2025 bersempena Forum Pelancongan ASEAN 2025 yang berlangsung di Johor, Malaysia kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, di sini, menyatakan majlis berkenaan memberikan pengiktirafan kepada sumbangan cemerlang sektor pelancongan di serata rantau ASEAN dengan Negara Brunei Darussalam turut menerima beberapa anugerah berprestij yang disampaikan kepada penerima-penerima tempatan.
Dalam majlis berkenaan, The Empire Brunei dan Trueliving Spa and Studio telah dianugerahkan 3rd ASEAN Spa Services Award bagi perkhidmatan cemerlang dan komitmen kepada kualiti dalam sektor pelancongan kesejahteraan.
Manakala Sumbiling Eco Village yang terletak di Temburong telah menerima anugerah 4th Community-Based Tourism (CBT) Award yang mengetengahkan dedikasi kampung berkenaan untuk mempromosikan pengalaman pelancongan kebudayaan mengasyikkan dan mampan sambil memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.
Di samping itu, Premium Toilet-Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Shopping Complex telah dianugerahkan 3rd ASEAN Public Toilet Standard bagi tahap kebersihan dan kemudahannya yang tinggi sekali gus menjadi contoh bagi kemudahan awam yang boleh meningkatkan pengalaman pelawat.
Anugerah-anugerah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan negara kepada kecemerlangan dalam pelancongan, kemampanan dan pembangunan masyarakat selain mengetengahkan usaha negara dalam menyelaraskan kepada standard pelancongan ASEAN serta mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain utama dalam pelancongan serantau.