Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anugerah jadi pembakar semangat dalami agama Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Dua saudara baharu yang telah tamat mengikuti Skim Bimbingan Mualaf Lanjutan II, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pengarah pada Majlis Konvokesyen Skim Bimbingan Mualaf ke-2, PDI bagi 2023 yang diadakan baru-baru ini.

    Awang Muhammad Arrafi bin Abdullah @ Berapi bin Luwis selaku penerima anugerah bagi lelaki dan Dayang Rosni binti Abu @ Rosni anak Abu selaku penerima anugerah bagi perempuan telah berkongsi rasa syukur dan gembira mereka atas anugerah yang telah
    diterima.

    Menurut Awang Muhammad Arrafi, beliau tidak menyangka akan menerima anugerah berkenaan dan akan terus berusaha dan menimba ilmu untuk mempertingkatkan lagi bacaan Al-Quran dan ilmu agama.

    Beliau yang baharu memeluk agama Islam setahun yang lalu bersama isterinya, menjelaskan bahawa setiap peluang yang diberikan oleh PDI akan digunakan sebaik mungkin dan selama ini tidak pernah menolak peluang ditawarkan kepadanya.

    Menurutnya, beliau telah mengambil masa selama 10 tahun untuk melihat dan mempelajari agama Islam, dan tahun ini barulah hasrat untuk memeluk agama Islam ditunaikan dengan kerelaan hati sendiri.

    Awang Muhammad Arrafi dan Dayang Rosni ketika ditemu bual oleh media selepas Majlis Konvokesyen Skim Bimbingan Mualaf ke-2, PDI bagi 2023, baru-baru ini. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Selain mengikuti Skim Lanjutan II, beliau juga telah menghadiri kursus 10 hari selepas memeluk agama Islam, kemudian kursus asas dua minggu sebelum Skim Lanjutan I dan Skim Lanjutan II.

    “Sentiasalah menanamkan sifat beranikan diri untuk mencuba, dan sentiasa merebut peluang yang diberikan dalam usaha bagi meningkatkan dan memperbaiki diri,” jelasnya.

    Sementara itu, Dayang Rosni pula menjelaskan, dengan anugerah yang diterima itu akan menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan lagi bacaan dan ilmu agama.

    “Walaupun sudah lama memeluk agama Islam, kini baru berpeluang menamatkan Skim Lanjutan II disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan,” kongsinya.

    Ketika ditemui, beliau menjelaskan, melalui kursus dan skim bimbingan yang dianjurkan oleh PDI itu, banyak membantu mereka dari kosong dan kini mereka sudah dapat membaca Al-Quran.

    “Semangat yang kuat untuk kembali menamatkan skim bimbingan ini telah mendapat sokongan daripada suami dan keluarga yang sentiasa memberikan semangat untuknya menimba ilmu agama,” tambahnya.

    Majlis konvokesyen yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah itu telah menyaksikan 143 orang peserta skim dari seluruh negara menerima sijil masing-masing.

    Antara lain tujuan skim itu adalah bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada peserta dalam kalangan mualaf yang telah berjaya mengikuti skim-skim bimbingan mualaf anjuran PDI.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda