Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 DIS – Menjadi penerima anugerah pada Anugerah Bersekutu ICT Asia Pasifik (APICTA) 2024, sudah setentunya mendorong untuk terus berusaha dan memantapkan lagi projek dan aplikasi yang diketengahkan sehingga berjaya dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
Dua penerima anugerah dari Brunei telah berkongsi kegembiraan atas usaha dan kerja keras berpasukan dalam memberikan projek dan aplikasi mendapat tempat di hati para juri.
Salah seorang penerima anugerah iaitu Konsultan Bedah Ortopedik di Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr Noor Azmi bin Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohamad menjelaskan bahawa dengan anugerah yang diterima itu, beliau mahu generasi baharu dapat membantu dan mentransformasikan digital kesihatan Negara Brunei Darussalam lebih hebat pada masa akan datang.
Beliau yang mendapat anugerah dalam kategori teknologi menyatakan produk BruHealth-Population Health and Health Service Delivery dihasratkan untuk memperkasa kesihatan rakyat dan menjadi salah satu matlamat utama Kementerian Kesihatan memberi peluang kepada rakyat dan penduduk mengakses perkhidmatan dengan mudah dari segi tempahan atau membuat konsultasi melalui video.
Menerusi projek itu, katanya, pihak kementerian dapat melihat lonjakan tertinggi penduduk-penduduk yang menggunakan aplikasi BruHealth seperti membuat tempahan, mengambil ubat dan memasukkan input dalam Health Index yang mana ia adalah salah satu cara mendapatkan tahap kesihatan pesakit atau penduduk sama ada mereka berada di tahap yang baik atau mengalami risiko.


“Kalau kita dapat mencegah penyakit, adalah lebih baik merawat dan tujuan Health Index itu adalah untuk menyaring penduduk dan mengetahui penyakit tersebut di tahap yang lebih awal sebelum ia menjadi lebih serius dan kita dapat membendung atau mengelakkan penyakit itu,” jelasnya.
Menurutnya, terdapat beberapa ciri dalam BruHealth yang mungkin kurang diketahui seperti keputusan pemeriksaan darah, x-ray dan sebagainya.
Oleh itu, aplikasi berkenaan dapat memberi peluang kepada penduduk untuk membuat saringan seperti kanser payudara, penyakit kardiovaskular dan yang terkini telah dilancarkan program untuk pesakit diabetes awal.
Melalui pendekatan baharu secara digital itu, pesakit boleh mengakses rawatan kencing manis dan berharap usaha itu akan dapat dilaratkan kepada empat penyakit-kronik lain iaitu kencing manis, kanser, penyakit buah pinggang dan jantung.
Menyentuh mengenai aplikasi tele video konsultasi pula, tambahnya, pesakit akan dipantau secara jauh dan kebanyakan pesakit yang lebih cenderung kepada aplikasi ini adalah pesakit golongan tua.
Sementara itu, Mr Grabbish 2.0 dari Mahad Islam Brunei penerima anugerah Merit dalam kategori penuntut pada Anugerah APICTA 2024 terus mencipta nama dan mengumpul anugerah dalam pertandingan yang berprestij ini.
Pelajar Tahun Enam Mahad Islam Brunei di bawah pimpinan Haji Muhammad Zuwaini Haji Aliyani yang merupakan salah seorang guru di sana telah melahirkan perasaan gembira atas anugerah yang diperoleh.
Beliau turut mengongsikan di mana Mr Grabbish 1.0 telah mendapat anugerah di Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2023 dan mewakili negara ke APICTA 2023 di Hong Kong dan mendapat anugerah Merit.
Menyentuh mengenai projek yang diketengahkan, ia adalah sebuah aplikasi mengutip sampah dengan cepat dan tepat.
“Aplikasi ini umpama seperti Dart, tapi berkonsepkan dan dikhususkan untuk mengambil sampah-sampah bagi mengelakkan pencemaran udara daripada pembakaran terbuka, pencemaran tanah iaitu mencegah dimakan oleh binatang liar seperti anjing dan tikus, dan juga pencemaran air kawasan perumahan di Kampong Ayer.
“Secara keseluruhannya, aplikasi ini adalah untuk mengurangkan pencemaran di negara Brunei,” jelasnya.
Untuk penyertaan Mr Grabbish kali ini, ciri-cirinya telah dinaiktarafkan kepada 2.0 yang mana penambahan sistem kod QR itu adalah untuk mengelakkan pembuangan sampah di tempat yang bukan sepatutnya.
Selain penambahan sistem AI untuk mengesan jenis sampah seperti botol kaca, plastik atau sampah yang bercampur.
Beliau turut menjelaskan, ketika ini aplikasi Mr Grabbish 2.0 masih lagi dalam prototaip dan hanya digunakan di kawasan sekolah sahaja.
Anugerah APICTA 2024 yang berlangsung baru-baru ini telah mempertandingkan 35 kategori, termasuk sub-kategori bagi Pengguna, Perkhidmatan Masyarakat dan Keikutsertaan, Perindustrian, Perkhidmatan Perniagaan, Sektor Awam dan Kerajaan, Penuntut, Kategori Silang dan Anugerah Teknologi.
Tahun ini, Negara Brunei Darussalam mendapat keistimewaan untuk menjadi tuan rumah bagi Anugerah APICTA 2024, yang merupakan satu lagi titik pencapaian, bertepatan dengan ulang tahun ke-20 penganjuran BICTA.
Anugerah APICTA yang diadakan setiap tahun menjadi platform pertandingan rantau Asia Pasifik bagi produk dan penyelesaian digital inovatif, mengiktiraf daya saing dan potensinya di peringkat Asia Pasifik.

