Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anugerah perniagaan livewire Brunei ke-13 dilancar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – LiveWIRE Brunei telah melancarkan Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei (LWBA) ke-13 secara maya kelmarin, untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada pengusaha serta usahawan yang cemerlang dalam perancangan perniagaan dan operasi perniagaan mereka yang sedia ada.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LiveWIRE Brunei, di sini, hari ini, anugerah itu merupakan inisiatif oleh LiveWIRE Brunei dan ditaja sepenuhnya oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dengan objektif untuk menyokong usaha berterusan negara mempelbagaikan ekonomi menerusi penyertaan aktif bagi pembangunan pesat perusahaan kecil dan sederhana di Brunei. Pelancaran itu, jelas kenyataan berkenaan, menandakan pendekatan yang baharu diperkenalkan pada tahun ini yang menjurus ke arah tumpuan terhadap ekonomi pekeliling (circular economy) dan peluang-peluang nilai dalam negara dalam agroteknologi dan inovasi.

    Di samping itu, LiveWIRE Brunei akan terus menyokong pembangunan usahawan muda dengan akses kepada kewangan, inkubasi dan mentor serta mempromosi penjanaan perusahaan-perusahaan mampan dengan rangkaian pasaran yang sedia ada serta penggunaan teknologi.

    Program itu juga merupakan platform dalam mengenal pasti perniagaan atau perusahaan yang berpotensi bagi peraduan global Shell LiveWIRE Top Ten Innovator dan mengetengahkan alumni sedia untuk dieksport bagi LiveWIRE e-Shop untuk membantu
    mereka mengakses pelanggan-pelanggan global.

    Pada 2019, syarikat Brunei, S&R Aquafarm mendapat tempat dalam pertandingan berkenaan dan antara 10 penerima bagi anugerah berprestij, Anugerah Top Ten Innovators mengetengahkan dan memberikan pengiktirafan kepada perusahaan atau perniagaan yang mempamerkan kecemerlangan dalam inovasi.

    Perubahan lain yang ketara dalam anugerah berkenaan bagi 2020 ialah pada Kategori Anugerah Perniagaan yang dikemas kini kepada dua kategori iaitu Start Up dan Institusi Tinggi.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa selaras dengan menyediakan perisian tempatan yang selari dengan usaha strategi negara ke arah pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0, Business Award Focus telah mengenal pasti lima bidang utama dalam pertandingan berkenaan iaitu Agroteknologi, Transisi Tenaga, Pengurusan Sisa, Pendigitalan dan Pembuatan Pintar di mana ia dibahagikan di bawah Segmen Pasaran bagi Kategori Institusi Tinggi.

    Proses LWBA 2020 dijangka akan mengambil tempoh tujuh bulan yang meliputi penglibatan pasaran di mana pada peserta mendaftar menerusi laman sesawang, bootcamp, business mentorship, sesi pitching, penyampaian anugerah dan sokongan serta rangkaian alumni.

    Sebagai sebahagian daripada usaha LiveWIRE dalam melaksanakan langkah-langkah keselamatan COVID-19, setiap proses dalam pertandingan berkenaan akan dilaksanakan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.

    Kenyataan menyatakan bahawa tarikh tutup bagi menghantar penyertaan dalam LWBA 2020 ialah pada 10 Ogos dan maklumat lanjut dapat diperoleh menerusi awards.livewirebrunei.com. LiveWIRE Brunei merupakan sebuah pelaburan sosial utama BSP yang bermatlamat untuk memupuk dan membimbing usahawan masa hadapan dan yang sedia ada. Ia juga merupakan salah satu daripada pelbagai komitmen BSP ke arah melahirkan dan membangunkan kompetensi, keupayaan dan daya saing perusahaan-perusahaan tempatan khususnya bagi kemapanan jangka panjang ekonomi sektor swasta Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda