Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anugerah PPNBD lahir modal insan cemerlang

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Menyentuh mengenai perkara tanggungjawab, ia sering terikat dengan komitmen untuk melaksanakan amanah, visi, misi dan semangat serta sikap dinamik lagi praktikal di samping dihiasi dengan nilai-nilai keikhlasan lebih-lebih lagi bagi seorang pemimpin dalam sesebuah pasukan atau organisasi.

    Tertubuhnya pergerakan pengakap, melahirkan satu harapan baharu untuk membentuk sahsiah dan mengasah kemahiran serta memantapkan perkembangan, pembentukan mental, fizikal, sosial, intelektual dan rohani seseorang individu itu sendiri agar menjadi insan yang berguna dalam pembangunan masyarakat dan negara.

    Rentetan itu, segala usaha yang terlaksana menerusi program-program yang ditawarkan dalam pergerakan pengakap itu sememangnya tidak terkecuali untuk sama-sama membentuk dan mengembangkan nilai asas kehidupan selaras dengan persetiaan dan undang-undang pengakap serta menjaga keluhuran jati diri untuk terus maju dan relevan dalam menghadapi cabaran-cabaran perubahan zaman serta kemahiran abad ke-21.

    Begitulah rata-rata luahan perkongsian tulus para penerima anugerah bintang dan pingat pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) semasa berkesempatan ditemui oleh pihak Media Permata pada majlis perasmian Jambori Nasional ke-5 Brunei Darussalam di Padang Dewan Kemasyarakatan Bukit Bendera, Daerah Tutong, kelmarin.

    PENGHARGAAN BUAT INSAN ‘JIWA PENGAKAP’

    Empat penerima yang terdiri daripada ahli persekutuan pengakap, pemimpin-pemimpin pengakap dan individu-individu yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang serta terlibat secara langsung dengan pergerakan pengakap di negara ini dalam tempoh tujuh tahun secara berterusan atau secara kumulatif telah menerima anugerah bintang tertinggi PPNBD iaitu Anugerah Bintang Rakis.

    Salah seorang penerima Pingat Persahabatan Antarabangsa Brunei, Settanun turut mengongsikan pandangannya terhadap hubungan kukuh antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand termasuk dalam bidang pengakap. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Dato’ Zulkafli selaku salah seorang penerima Anugerah Bintang Jasa Cemerlang Kelas Kedua menjelaskan bahawa penglibatan golongan muda dalam pasukan beruniform khususnya pergerakan berpengakap mampu melahirkan insan cemerlang. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Pengiran Haji Tajuddin selaku penerima Anugerah Bintang Rakis, tidak ketinggalan merakamkan kesyukuran dan penghargaan yang tidak terhingga kepada ahli Jawatankuasa PPNBD atas perhargaan tersebut. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Atas & bawah: Sekitar suasana Majlis Perasmian Jambori Nasional ke-5 Brunei Darussalam. – Gambar oleh Khayr Zakariyya

    Sementara itu, dua penerima Anugerah Bintang Jasa Cemerlang Kelas Kedua telah dianugerahkan kepada para pemimpin pengakap, individu-individu yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang serta terlibat secara langsung dengan pergerakan pengakap di negara ini dalam tempoh lima tahun secara berterusan atau secara kumulatif.

    Manakala enam individu yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin pengakap luar negara yang memberikan perkhidmatan cemerlang dalam perhubungan persahabatan dengan PPNBD serta terlibat secara langsung dengan perkembangan pergerakan pengakap di negara ini telah dianugerahkan Pingat Anugerah Persahabatan Antarabangsa Brunei.

    SIGNIFIKAN KETEGASAN DALAM DISIPLIN

    Salah seorang penerima Anugerah Bintang Rakis, Mantan Pesuruhjaya Penyusun, PPNBD, Pengiran Haji Tajuddin bin Pengiran Haji Ahmad yang telah menabur jasa dan bakti beliau dalam persatuan tersebut sejak lebih 30 tahun yang lalu tidak ketinggalan merakamkan kesyukuran dan penghargaan yang tidak terhingga kepada ahli Jawatankuasa PPNBD atas penghargaan tersebut.

    Mengimbas kembali kenangan yang telah berlalu, beliau berkata pergerakan pengakap pada zaman dahulu dengan sekarang mempunyai sedikit perbezaan di mana dahulu kala seluruh persediaan perkhemahan dilakukan oleh pengakap itu sendiri, namun seiring berlalunya waktu, persediaan tersebut sudah tidak sama seperti sebelumnya.

    Apa yang penting, menerusi perkhemahan berkenaan, matlamatnya adalah tercapai iaitu dapat menguji kebolehan para pengakap dan perkara-perkara yang telah mereka pelajari mengikut persekutuan masing-masing.

    “Antara ciri yang perlu ada dalam diri seorang pengakap adalah ketegasan iaitu taat kepada undang-undang, peraturan dan masa serta berkelakuan sempurna,” tegas Pengiran Haji Tajuddin.

    PERGERAKAN PENGAKAP SEBAGAI GARIS PANDUAN MENYELURUH

    Dalam dunia globalisasi yang mencabar ini, khususnya kepada para ibu bapa, inilah peluang untuk menggalakkan anak masing-masing menyertai pengakap. Selain daripada anak itu sendiri berminat, ibu bapa juga harus berusaha untuk menggalakkan anak-anak mereka menyertainya.

    Itulah antara yang saranan yang diungkapkan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Persekutuan Pengakap Malaysia, Dato’ Zulkafli bin Kamaruddin selaku salah seorang penerima Anugerah Bintang Jasa Cemerlang Kelas Kedua.

    Beliau seterusnya turut menambah bahawa penglibatan golongan muda dalam pasukan beruniform khasnya pergerakan pengakap merupakan garis panduan yang sangat lengkap dengan berpegang terhadap Al-Quran dan hadis.

    “Pastinya dengan penglibatan mereka dalam pergerakan pengakap menjamin kita untuk melahirkan generasi yang mempunyai modal insan cemerlang,” ujar Dato’ Zulkafli.

    Lantaran itu juga perlu diketahui bahawa dengan adanya hubungan integrasi pengakap bersama negara-negara ASEAN dan Asia Pasifik, ia merupakan platform terbaik serta salah satu komitmen yang menggambarkan persaudaraan dalam pergerakan pengakap.

    “Saya sangat terpanggil dan mengucapkan terima kasih kepada PPNBD dan berasa sangat teruja serta bangga atas anugerah ini dan ia merupakan salah satu anugerah tertinggi pada peringkat antarabangsa yang pernah saya perolehi,” ucapnya penuh kesyukuran.

    HUBUNGAN PERSAHABATAN TEGUH

    Sementara itu, salah seorang penerima Pingat Persahabatan Antarabangsa Brunei, Chairman Ticket to Life Thailand, Asia-Pacific Regional Vice Chairman Social Impact Sub-Committee, National Scout Executive Board, National Scout Organization of Thailand, Settanun Ungkulpasvich turut mengongsikan pandangannya terhadap hubungan persahabatan antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand yang sangat teguh termasuk dalam bidang pengakap berkat kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Beliau yang berpeluang beberapa kali terlibat dalam acara pengakapan di negara ini turut menzahirkan kegembiraan menyaksikan penglibatan golongan muda di negara ini dalam pergerakan pengakap amat memberangsangkan.

    “Saya begitu menaruh harapan untuk menyaksikan lebih ramai lagi golongan muda dari persekutuan kami akan menyertai acara seumpama ini pada masa akan datang,” ujar Settanun di akhir pertemuan bersama pihak media, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda