Monday, February 24, 2025
21.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anugerah SCOT hargai jasa ahli

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Nov – Society for Community Outreach & Training (SCOT), petang tadi, telah mengadakan Majlis Penganugerahan Honorary SCOT Award 2017 sempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan SCOT ke-4 yang telah berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pusat Belia di ibu negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Pengerusi SCOT, Awang Anwar Mohammad dalam ucapannya menyatakan, SCOT ditubuhkan pada tahun 2011 sebagai sebuah organisasi yang berharap akan menjadi pemangkin kepada projek-projek membasmi kemiskinan di negara ini.

    SCOT, jelasnya lagi, telah berjaya mengungkayahkan lebih daripada 20 projek sejak penubuhannya yang bukan hanya di dalam negara malah menjangkau ke Kemboja.

    “Alhamdulillah, pada tahun ini persatuan ini telah berjaya mengungkayahkan Projek Green Xchange kali ke-9 yang telah diadakan di Kampung Batu Marang dan telah mengutip hampir lima tan barangan kitar semula daripada penduduk kampung.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menyampaikan Anugerah Honorary SCOT 2017 kepada Dayang Siti Noraspadiyah.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi, ahli MMN dan setiausaha-setiausaha tetap di KKBS bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan sijil.
    Awang Anwar Mohammad semasa menyampaikan ucapannya pada majlis tersebut.

    “Saya berharap agar sikap pemedulian tentang alam sekitar ini akan sedikit sebanyak diserapkan sebagai satu disiplin harian kepada penduduk kampung menerusi Projek Green Xchange ini,” tambahnya.

    Beliau juga menjelaskan mengenai projek kedua persatuan berkenaan iaitu SCOT Education yang masih menerapkan misinya untuk memperbaiki tahap pemahaman Bahasa Inggeris khususnya bagi anak-anak dari golongan yang kurang berkemampuan yang mana pada tahun ini SCOT Education telah memanjangkan tahap program daripada tiga bulan kepada tujuh bulan dalam memastikan keberkesanan dalam memantau perkembangan kemajuan para peserta.

    Awang Anwar juga menyentuh beberapa projek SCOT seperti Program Youth Against Poverty dan juga SCOT Education Cambodia.

    “Alhamdulillah saya sangat berbangga dengan pencapaian belia-belia Brunei seperti ini yang telah pun berjaya menunjukkan daya kreativiti mereka dalam menginovasi projek-projek yang dapat menolong membangun kemajuan negara.”

    Beliau berharap agar semangat kegigihan ini akan sentiasa terus maju ke hadapan bagi kepentingan untuk mencorakkan hala tuju kemajuan negara yang akan dipimpin oleh belia-belia Brunei pada masa akan datang.

    Menjelaskan mengenai Anugerah Honorary SCOT pula, beliau berkata, ia merupakan penghargaan atas jasa seorang ahli kepada SCOT dan masyarakat awam secara keseluruhan dan di samping itu mempunyai sifat-sifat amanah dan kegigihan, semangat setia kawan yang berterusan serta berharap akan menjadi model peranan kepada ahli SCOT yang lain.

    Anugerah Honorary SCOT tahun ini telah diberikan kepada Dayang Siti Noraspadiyah binti Haji Mohd Sah.

    Beliau merupakan Pengarah SCOT Education yang mana beliau adalah pengasas bagi kurikulum mengajar Bahasa Inggeris khususnya pada belia-belia Brunei yang kurang berkemampuan untuk menaikkan taraf mereka dalam menerajui Bahasa Inggeris.

    Majlis juga menyaksikan tetamu kehormat majlis menyampaikan Sijil Aspirasi kepada enam orang penerima.

    Sijil aspirasi ini diberikan kepada ahli-ahli yang telah mengambil peluang kepimpinan di dalam persatuan dari segi idea dan inovasi dalam mengungkayahkan projek-projek baru yang telah berjaya mendatangkan impak positif kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.

    Di samping itu untuk memberikan peluang kepada belia-belia Brunei yang turut serta dalam projek-projek yang telah dijalankan untuk berbakti kepada negara.

    Para penerima terdiri daripada pencipta logo SCOT, Hajah Nor Hakimah binti Haji Mohd Nor; Presiden Persatuan SCOT sesi 2016/2017, Pengiran Salimatul Sa’ada binti Pengiran Saleh; Pengurus Projek bagi pembinaan perigi di Kemboja tahun 2016, Awang Muhammad Nur Isman bin Abu Bakar; Pengurus Projek bagi Green Xchange ke-9, Dayangku Nurul Khairunnisa binti Pengiran Haji Roslin; Pengurus Projek bagi Youth Against Poverty, Awangku Zulkarnain bin Pengiran Juata dan Bendahari SCOT, Dayang Nurul Izzati Khairunnisa binti Embran.

    Majlis juga menyaksikan pembentangan pencapaian SCOT pada tahun 2017 yang telah disampaikan oleh Pengiran Salimatul Sa’ada.

    Juga hadir di majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku Pengarah SCOT Green Xchange, Setiausaha-setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Haji Muhd Juanda bin Haji A. Rashid dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; serta para jemputan khas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda