PUTRAJAYA, 26 MAC – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulung sehari ke Kemboja esok untuk memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan republik itu sejak 1957.
Ia adalah lawatan rasmi luar negara ketujuh bagi Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas.
Anwar dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada 9:15 pagi dan disambut oleh Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Othsman Hassan selaku menteri pengiring mewakili kerajaan Kemboja.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada si-dang media di sini hari ini berkata lawatan rasmi itu adalah atas undangan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Beliau berkata lawatan rasmi itu merangkumi sesi menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja dengan Anwar akan dirai dalam satu upacara sambutan rasmi di Peace Palace dan sejurus selepas itu, mengadakan pertemuan dengan Hun Sen.
“Pertemuan ini akan memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk mengutarakan serta membincangkan isu-isu dan kerjasama dua hala yang berkepentingan bersama dengan Perdana Menteri Kemboja.
“Di samping itu, kita juga boleh meneroka peluang kerjasama baharu bagi memperkukuhkan lagi jalinan hubungan kedua-dua negara,” katanya.
Zambry berkata satu sesi sidang media bersama akan diadakan susulan pertemuan Anwar dengan Hun Sen bagi memaklumkan hasil perbincangan oleh kedua-dua pemimpin.
Beliau berkata semasa lawatan itu, Perdana Menteri akan menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Kemboja mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi Sektor Domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi Sektor Formal. – Bernama