Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Anwar angkat sumpah PM Malaysia ke-10

    KUALA LUMPUR, 24 NOV – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada pukul 5:06 petang.

    Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40 (2) (a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

    Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi tadi bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Yang di-Pertuan Agong Malaysia berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Bernama

    Anwar, 75, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diriingi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

    Sejurus mengangkat sumpah, Ahli Parlimen Tambun itu menandatangani beberapa dokumen berkaitan sebelum upacara itu diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

    Upacara disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Pemimpin parti politik yang hadir ialah pemimpin parti komponen PH iaitu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...