Thursday, March 13, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anwar antara pemimpin asing ucap takziah kepada Pm India

    NEW DELHI, 30 DIS – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara pemimpin asing merakamkan ucapan takziah atas pemergian ibu Perdana Menteri India Narendra Modi, Heeraben pada Jumaat.

    “Saya dan Azizah (isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) mengucapkan takziah dan simpati yang mendalam kepada Perdana Menteri India, Tuan Yang Terutama @NarendraModi atas kehilangan ibu tercinta, Smt Heeraben Modi.

    “Kami berkongsi kesedihan dan ingatan kami bersama awda di saat hiba ini,” kata Anwar menerusi ciapan di Twitter hari ini.

    Heeraben meninggal dunia pada usia 99 tahun awal pagi Jumaat.

    Sebelum ini, Heeraben dimasukkan ke hospital di bandar Ahmedabad, Gujarat untuk menerima rawatan pada Rabu. Modi dan ahli keluarganya menghadiri upacara terakhirnya di Gandhinagar. Pemimpin asing lain turut mengucapkan takziah atas kematian ibu Modi, termasuk Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.

    “Tiada kehilangan yang lebih besar daripada kehilangan ibu. Takziah kepada Perdana Menteri @narendramodi atas pemergian ibunya,” menurut ciapan Shehbaz.

    Perdana Menteri Nepal Pushpa Kamal Dahal dan Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe berkata mereka “sangat sedih” menerima berita itu.

    “Takziah kepada Perdana Menteri Modi dan keluarga di waktu kesedihan ini,” kata Wickremesinghe. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda