KUALA LUMPUR, 15 MEI – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah membincangkan insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, hanya beberapa hari selepas agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyalahkan Moscow atas tragedi 2014 itu.
Anwar berada di ibu negara Rusia untuk lawatan rasmi negara selepas Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengeluarkan dapatan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden tersebut, satu keputusan yang ditolak oleh Moscow sebagai ‘berat sebelah’.
Anwar berkata, Putin memaklumkan bahawa Moscow ‘bersedia’ membantu siasatan oleh mana-mana badan yang dianggap bebas.
“Saya boleh sahkan bahawa beliau (Putin) tidak pernah menyatakan bahawa beliau tidak mahu bekerjasama,” kata Anwar dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya hari ini.
“Tetapi beliau tidak dapat bekerjasama dengan mana-mana badan yang dianggap tidak bebas oleh Rusia,” tambah Perdana Menteri, sambil menyatakan bahawa Rusia “sejak awal lagi meminta siasatan yang bebas dan menyeluruh.”
“Pihak Rusia bersedia bekerjasama untuk memastikan laporan itu lebih berwibawa,” kata Anwar selepas mengadakan perbincangan dua hala dengan pemimpin Rusia itu sehari sebelumnya.
Sekitar 11 tahun lalu, sebuah pesawat Boeing 777 milik syarikat penerbangan rasmi Malaysia ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK buatan Rusia di ruang udara timur Ukraine yang dilanda perang, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.
Majoriti penumpang terdiri daripada warga Belanda, selain 43 rakyat Malaysia dan 38 warga Australia dalam penerbangan berjadual dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.
Belanda dan Australia telah mendesak Rusia untuk mengambil tanggungjawab atas insiden tersebut dan membayar ganti rugi. – AFP
