KUALA LUMPUR, 13 NOV – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Nurul Ain Haron, warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza bersama suaminya warga Palestin Mohamed AM Shaat, untuk menjelaskan situasi di Palestin kepada
rakyat di negara itu sebaik pulang ke tanah air.
Dalam panggilan video bersama Nurul Ain dan suaminya, Anwar yang ketika ini berada di Mekah melahirkan rasa syukur, selepas Nurul Ain dan suaminya selamat dibawa keluar dari kawasan konflik itu melalui Lintasan Sempadan Rafah semalam.
“Insya Allah kita akan terus membantu. Semalam saya pun tunggu perkembangan di Mekah ni, kita semua berdoa.
“Nanti dah sampai ke Malaysia rehat sekejap, kemudian terus bertugas untuk jelaskan apa yang berlaku di Gaza kepada rakyat Malaysia. Kita doakan selamat berlepas ke Kuala Lumpur,” kata Anwar menerusi panggilan video yang berlangsung kira-kira lima minit.
Nurul Ain dan suaminya dijangka berlepas ke Malaysia malam ini. – Bernama


