Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anwar: Kadar gaji, upah penjawat awam akan dibincang semula

    KOTA KINABALU, 28 FEB – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincangkan semula setelah ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.

    Perdana Menteri berkata secara peribadi, beliau tidak berpuas hati apabila melihat kadar gaji dan upah penjawat awam berbanding tugas serta komitmen yang diberikan namun ia perlu dinilai berdasarkan kemampuan kewangan negara ketika ini.

    “Kalau kantung bertambah baik defisit dikurangkan, kita boleh (naikkan gaji serta upah), dan sekarang bila saya tengok penjawat awam buat kerja baik antaranya di negeri kemudian hasil bertambah, proses itu boleh dipercepat.

    “Cuma untuk hari ini saya fikir sukarlah, itu nanti kita bincang dahulu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

    Ketika menyampaikan amanat pada majlis itu, Anwar berkata negara berdepan defisit fiskal sebanyak 5.6 peratus dan jumlah hutang kira-kira RM1.5 trilion yang perlu diberi keutamaan dalam usaha memastikan kemakmuran negara terutama dari segi ekonomi.

    “Beberapa bulan ini bila pulangan kita dua bilion, tiga bilion, lapan bilion masuk dalam kantung kewangan negara, satu sen pun tidak bocor, kalau bocor siaplah… semua tahulah saya buat macam mana.

    “Kalau kantung negara cukup, penjawat awam percayalah saya akan beri keutamaan kepada nasib awda semua… kerana khidmat dan dedikasi awda wajar diberikan gaji dan upah yang lebih baik,” katanya. Justeru, beliau menyeru kepada semua penjawat awam supaya mengamalkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam memastikan Malaysia dapat diurus dengan sempurna selain kewangan negara dapat dipulihkan dengan segera. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) berkata sesuatu kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sewaktu menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Jemaah Menteri Sabah. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda