SINGAPURA, 7 SEPT – Masalah kebimbangan sosial atau social anxiety di kalangan kanak-kanak perempuan yang berumur 8 tahun setengah hingga 13 tahun telah mencatat lonjakan ketara di mana mereka takut dinilai secara negatif dalam situasi sosial.
Menurut kajian Singapura terbaharu yang diketuai oleh Profesor Psikologi NTU, Setoh Peipei, tahap kebimbangan sosial kanak-kanak perempuan pada usia 13 tahun jauh lebih tinggi berbanding lelaki.
“Jika dibiarkan tanpa rawatan, masalah ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan mental, hubungan interpersonal, serta prestasi akademik atau pekerjaan di masa hadapan,” kata Profesor Setoh.
Kajian beliau adalah yang pertama seumpamanya untuk meneliti bagaimana pelbagai jenis perasaan cemas, seperti semasa berpisah dan simptom fizikal kebimbangan, berkembang seiring dengan kanak-kanak yang memasuki usia remaja awal, dan ini ditakrifkan antara usia 10 hingga 13 tahun.
Kajian tersebut mengikuti hampir 550 pasangan ibu dan anak selama tujuh tahun dengan cara anak-anak tersebut diminta menjawab soal selidik mengenai tingkah laku ibu bapa mereka pada usia mereka enam tahun dan ibu mereka juga mengisi soal selidik untuk menilai kesihatan mental mereka.
Anak-anak tersebut juga akan menyelesaikan soal selidik mengenai simptom kebimbangan mereka pada usia 8 tahun setengah, 10, dan 13 tahun di mana kajian ini diterbitkan dalam talian dalam jurnal Research On Child And Adolescent Psychopathology baru-baru ini.
Kajian Profesor Setoh adalah lanjutan daripada penyelidikan nasional yang menunjukkan bahawa kira-kira empat daripada sepuluh remaja di Singapura telah mengalami kebimbangan sosial yang cukup teruk sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka dan memerlukan intervensi kesihatan mental.
“Penyelidikan lepas juga menunjukkan bahawa kanak-kanak perempuan menghadapi lebih banyak tekanan emosi dan sosial semasa akil baligh,” katanya.

Denise Tan, seorang ahli psikologi klinikal yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mental remaja dan kaunseling berkata, “kanak-kanak perempuan dikenal pasti lebih cenderung untuk berfikir secara mendalam berbanding lelaki dan secara umumnya lebih peka terhadap perasaan orang lain.
“Oleh itu, mereka lebih bimbang tentang bagaimana mereka dilihat oleh orang lain, yang membawa kepada kebimbangan sosial,” kata Tan yang tidak terlibat dalam kajian tersebut.
Di samping itu, kajian Profesor Setoh juga meneliti bagaimana persekitaran penjagaan membentuk simptom rasa cemas dan penemuan dari kajian ini telah memberikan pandangan untuk memperbaiki usaha penyaringan kesihatan mental dan intervensi.
Seramai 547 pasangan ibu dan anak yang diikuti oleh pasukannya adalah sebahagian daripada kajian Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes iaitu kajian terbesar mengenai bagaimana faktor kehidupan awal mempengaruhi kesihatan jangka panjang.
Pasukan yang terdiri daripada lapan penyelidik diketuai oleh Profesor Setoh, dengan Dr Germaine Tng, seorang penyelidik kanan NTU, sebagai penyelidik utama. Penyelidik-penyelidik lain pula berasal dari pelbagai organisasi lain seperti Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS, Institut Pembangunan dan Potensi Manusia A\*Star, dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.
Selain itu, Profesor Setoh turut menambah, sokongan awal perlu diberikan kepada ibu-ibu yang mengalami tekanan psikologi dalam perjalanan keibubapaan mereka kerana kesejahteraan ibu boleh memberi impak jangka panjang terhadap kesihatan mental keluarga.
Penemuan ini menunjukkan kepentingan program saringan untuk mengenal pasti kanak-kanak yang berisiko tinggi mengalami kebimbangan sosial pada peringkat awal, supaya mereka dapat mendapatkan sokongan sebelum simptom menjadi lebih teruk.
Sementara itu, Dr Jared Ng, seorang pakar psikiatri yang tidak terlibat dalam kajian itu menjelaskan, ramai kanak-kanak yang mengalami kebimbangan sosial tidak dikenali atau didiagnosis pada peringkat awal dan ini kebimbangan mereka sering disalah tafsir sebagai rasa malu atau sifat pendiam.
Bagi kanak-kanak yang lebih muda, katanya, kebimbangan sosial ini mungkin muncul sebagai sakit kepala atau sakit perut kerana mereka takut dinilai atau dimalukan di sekolah atau dalam persekitaran lain.
Dalam satu kes, Dr Ng melihat seorang remaja lelaki yang sukar untuk bersuara di kelas dan ketakutan ini berkembang menjadi ketakutan sosial yang serius dan melumpuhkan.
“Untuk mengelakkan interaksi dengan orang lain, dia hanya pulang dari sekolah selepas tengah malam dengan berjalan kaki dan seterusnya enggan pergi ke sekolah”.
Apa yang penting, tegasnya, kebimbangan sosial bukan hanya fasa sementara atau sifat peribadi kerana jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh berterusan hingga dewasa dan menghadkan peluang seseorang remaja.
“Tetapi dengan pengenalan awal, terapi dan persekitaran sokongan di rumah dan di juga sekolah, golongan muda boleh belajar untuk menguruskan ketakutan mereka dan berkembang secara sosial dan emosi, “ jelasnya. – ANN/The Straits Times

