Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Negara Brunei Darussalam dan Australia mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang termasuk bidang pertahanan yang sudah terjalin sekian lama.
Pengorbanan dan keberanian anggota tentera lelaki dan wanita dari Australia dan New Zealand yang berkhidmat dalam peperangan, konflik, menjaga keamanan serta operasi kemanusiaan, terus diingat dan dihormati dengan rakyat dan penduduk kedua buah negara memperingati pengorbanan mereka itu di Hari ANZAC yang diraikan di seluruh dunia.
Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Memperingati Hari ANZAC untuk sama-sama memperingati pengorbanan tentera-tentera berkenaan dalam majlis yang diadakan di Tugu Peringatan Brunei-Australia, Pantai Muara pagi tadi.
Hadir sama semasa majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yusof; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Michael Hoy; pegawai-pegawai kanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat; pegawai-pegawai tentera; warga Australia dan New Zealand di Negara Brunei Darussalam, para jemputan serta tetamu khas.
Di majlis berkenaan, TYT Michael Hoy dalam ucapannya menyatakan majlis itu mempunyai makna yang istimewa dalam ulang tahun ke-80 Operasi Oboe yang menyaksikan tentera Australia mendarat di Pantai Muara pada 10 Jun 1945 dan seterusnya bekerjasama dengan Brunei, Amerika Syarikat dan rakan-rakan lain untuk membebaskan Negara Brunei Darussalam serta Borneo, jelasnya lagi.
Beliau berkata bahawa di antara mereka berkenaan, seramai 114 orang warga Australia telah membuat pengorbanan yang terbesar dan kini, Australia, Jepun dan Negara Brunei Darussalam telah bersatu dalam keazaman bersama untuk tidak ingin melihat rantau berkenaan berperang lagi.
Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi, TYT Michael Hoy, duta-duta serta pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi negara-negara sahabat, meletakkan jambangan bunga sebagai tanda penghormatan dan memperingati jasa di tugu peringatan itu.
Suruhanjaya Tinggi Australia turut merakamkan penghargaan bagi sokongan upacara oleh Pasukan Sekuriti Gurkha, Kementerian Pertahanan dan British Forces Brunei.