Pelakon Anzalna Nasir akan membawa dua anak lelakinya mengikutnya bekerja sekiranya tiada dalam kalangan ahli keluarga dapat membantu menjaga mereka.
Anak-anak adalah keutamaan dalam hidup, Anzalna atau Nur Anzalna Md Nasir, 37, tidak akan sesekali meninggalkan mereka di bawah jagaan pembantu, menurut laporan mStar.
Kata pelakon ini, dia kurang percaya anak-anak lelakinya dijaga pembantu dan lebih rela membawa mereka bersama ke tempat kerja.
“Jika keluarga tidak berkesempatan menjaga anak, saya akan bawa dia ketika bekerja. Saya tidak akan tinggalkan anak-anak dengan pembantu. Tidak!
“Anak-anak adalah keutamaan dan saya tidak akan tinggalkan mereka dengan orang yang tidak dipercayai,” katanya.
Anzalna berkongsi perkara tersebut di Instagram miliknya pada kelmarin.
Dalam hantaran berkenaan dia kelihatan membawa anak keduanya iaitu Emirhan ketika menghadiri sesi pelancaran produk kecantikan.
Tambah pelakon ini penat bukan alasan untuk mengabaikan anak-anak sebaliknya perlu memastikan keselamatan anak-anak sentiasa terjaga.
Anzalna juga memberitahu dia sanggup tolak tawaran kerja sekiranya berlaku sebarang kecemasan melibatkan anak-anak di rumah.
“Penat memang penat tetapi lebih penting saya tahu mereka sentiasa dalam keaaan selamat.
“Saya juga sanggup tolak job di saat-saat akhir walau bayaran tinggi kalau anak tak sihat sebab duit boleh cari,” ujarnya.
Malah dia juga tidak ambil pusing sekiranya ada pihak kurang senang dengan pendekatan dia membawa anak ke tempat kerja.
Sebagai ibu, Anzalna sedar anak-anak adalah tanggungjawab dan amanah yang perlu dijaga.
“Saya yang melahirkan mereka dan anak-anak adalah paling berharga. Saya akan jaga amanah Allah ini sebaik mungkin selagi hidup,” luahnya.
Untuk rekod Anzalna mendirikan rumah tangga dengan suaminya iaitu Hanif Zaki pada 2016. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Mohamad Eidrees, 6, dan Mohamad Emirhan, 3 tahun. – Agensi
