Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apa-apa selain menang Liga Europa ‘tidak bermakna’ untuk United – Amorim

    MANCHESTER, 9 MEI – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berkata kelmarin bahawa perjalanan pasukannya ke final Liga Europa akan menjadi sia-sia jika mereka gagal tewaskan Tottenham dalam aksi final di Bilbao Mei nanti.

    Pasukan Amorim membelasah Athletic Bilbao 7-1 secara agregat untuk menempah tempat ke final pertandingan kelab peringkat kedua Eropah.

    Pasukan tempat ke-15 Liga Perdana itu akan menentang Spurs di tempat ke-16 di Basque Country pada 21 Mei, dengan pemenang memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

    “Ia adalah yang paling kurang kami boleh lakukan atas sokongan yang diberikan kepada kami pada musim yang sukar ini,” kata Amorim kepada TNT Sports selepas United menewaskan Athletic 4-1 pada perlawanan kedua di Old Trafford kelmarin.

    “Saya sudah pun rasa tekanan kerana perlawanan akhir. Jika kami tidak melakukannya, ia tidak bermakna, tetapi kami gembira berada di sana jadi mari kita lihat.

    “Saya tahu saya sepatutnya menjadi pengurus yang lebih baik dan pasukan sepatutnya menjadi lebih baik pada masa ini tetapi kami tetap cuba. Kami melakukannya dengan agak baik di Eropah tetapi kami bergelut dalam Liga Perdana.”

    Sementara itu, Spurs pula layak ke final dengan kemenangan agregat 5-1 menentang pasukan Norway, Bodo/Glimt.

    Pasukan Ange Postecoglou telah mengharungi musim yang sama mencabar seperti United dan juga melihat kemenangan dalam Liga Europa sebagai satu-satunya cara untuk menyelamatkan kempen mereka.

    Tottenham pernah tewaskan United tiga kali musim ini, menang 3-0 dan 1-0 dalam Liga Perdana dan 4-3 dalam Piala Liga.

    “Kami perlu mempunyai skuad penuh (menentang Tottenham nanti), kekal fokus dalam permainan, perlukan sedikit nasib dan lebih klinikal,” kata Amorim.

    “Ia agak serupa untuk saya dan Ange. Ia adalah saat yang sukar dan salah seorang daripada kami akan menang. Ia akan menjadi final yang hebat dan kami akan cuba menang.” – AFP

    Ruben Amorim semasa Manchester United menentang Athletic Club Bilbao di stadium Old Trafford, Manchester, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda