Kereta tiba-tiba keluar asap putih? Enjin keluar bunyi pelik masa berhenti, bergerak atau memecut? Suhu kereta awda naik secara tiba-tiba dengan kerap?
Menurut laman web Carlist Malaysia, jika situasi itu kerap berlaku kepada awda semasa sedang memandu, ia mungkin petanda bahagian enjin kereta awda sedang mengalami masalah yang serius dan memerlukan perhatian segera dalam kes tertentu, proses overhaul enjin atau turun enjin perlu dilakukan terhadap kereta awda.
Tetapi, proses overhaul atau turun enjin selalunya dianggap sebagai mimpi ngeri dalam kalangan pemilik kereta. Ini kerana, proses itu menelan belanja yang boleh mencecah sehingga empat atau lima angka dan memakan masa yang lama untuk disiapkan.
APA ITU OVERHAUL ?
Overhaul atau turun enjin adalah proses membaik pulih enjin kenderaan secara menyeluruh. Ia merujuk pada proses meleraikan enjin dan semua komponennya bagi membolehkan mekanik atau juruteknik mengenal pasti dan membaiki punca masalah secara terus pada komponen enjin yang terlibat.
Proses itu sangat rumit dan memerlukan ketelitian juruteknik kerana setiap komponen enjin kereta akan dibuka, dibersihkan, dibaiki dan dipasang semula. Disebabkan ia melibatkan banyak komponen-komponen yang sensitif, pemasangan semula perlu dilakukan dengan betul.




Jika tersilap langkah, ia boleh mengakibatkan kerosakan yang lebih serius pada enjin dan menyebabkan kos pembaikan menjadi lebih tinggi. Overhaul biasanya dilakukan apabila sesebuah enjin kereta mengalami masalah seperti berikut:
• Enjin mengalami kepanasan yang melampau sehingga melebihi paras normal
• Terdapat komponen yang pecah, patah, retak atau bocor
• Ada sisa logam dalam minyak hitam
• Timing belt atau tali sawat pemasaan putus
• Prestasi enjin menurun
• Minyak enjin berkurangan walaupun tiada kebocoran yang ketara pada bahagian gasket
• Enjin bergegar
APA BEZA ANTARA TOP OVERHAUL & FULL OVERHAUL?
Lazimnya, proses overhaul dilakukan terhadap enjin kereta bergantung pada tahap kerosakan dan status kesihatan semasa enjin yang diperiksa. Ada dua jenis proses overhaul yang biasanya dilakukan top overhaul dan full overhaul. Berikut adalah perbezaan antara kedua-dua proses ini:
TOP OVERHAUL
Top overhaul merujuk pada proses overhaul bahagian atas enjin kereta tanpa perlu mengeluarkan keseluruhan enjin daripada badan kereta. Proses itu melibatkan penggantian atau penukaran komponen seperti kepala silinder, injap, rocker arm, kedap injap atau valve seal, skru silinder dan gasket kepala.
FULL OVERHAUL
Full overhaul pula merujuk kepada keadaan apabila enjin kereta dikeluarkan daripada badan kenderaan untuk diservis atau dibaiki dan biasanya melibatkan kerosakan pada bahagian-bahagian yang sukar untuk dicapai.
Oleh sebab itu, kos untuk full overhaul lebih tinggi berbanding top overhaul. Kebiasaannya, full overhaul akan melibatkan proses penggantian atau penukaran komponen-komponen penting pada enjin seperti blok enjin, crankshaft, bearing (enjin dan piston), gelang piston atau piston ring dan lain-lain.
TANDA-TANDA KERETA AWDA KENA OVERHAUL
Sama seperti manusia, kereta juga akan menunjukkan tanda-tanda tertentu apabila ia mengalami masalah. Jika simptom-simptom berikut berlaku, enjin kereta awda perlu diperiksa untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang kerosakan yang boleh menjejaskan prestasi dan fungsi enjin.
1. Asap putih keluar daripada bahagian enjin atau ekzos
Jika awda melihat asap berwarna putih keluar daripada ekzos kereta atau enjin, itu bermaksud minyak enjin telah memasuki ruang pembakaran. Situasi itu berlaku disebabkan oleh gelang piston yang sudah haus atau rosak.
2. Enjin meragam disebabkan palam pencucuh kotor
Bila palam pencucuh dicemari oleh minyak enjin yang bocor, ia boleh menyebabkan kotoran berkumpul dan komponen ini tidak dapat berfungsi dengan baik. Itu akan menjejaskan prestasi percikan api dan menyebabkan enjin tidak mampu berfungsi dengan optimum.
Berikut adalah tanda-tanda enjin awda meragam:
• Enjin kurang bertenaga walaupun rpm tinggi
• Enjin mengeluarkan bunyi pelik
• Enjin tersengguk-sengguk ketika memecut
3. Minyak hitam kurang
Simptom enjin ‘makan minyak’ itu merupakan salah satu tanda enjin kereta awda memerlukan overhaul. Awda boleh memeriksa paras minyak enjin kereta awda secara berkala dengan menggunakan batang celup untuk mengetahui paras sebenar minyak enjin dalam kereta awda.
4. Ada sisa logam dalam minyak hitam
Ini salah satu tanda penting yang menandakan enjin kereta awda perlukan overhaul.
Minyak hitam kereta tidak sepatutnya mengandungi sebarang sisa logam. Jika ada sisa logam, itu bermakna terdapat kerosakan serius pada komponen di dalam enjin yang perlu ditangani dengan segera.
5. Suhu enjin kereta naik
Suhu enjin yang kerap naik dengan tiba-tiba sehingga menyebabkan panas lampau menandakan terdapat masalah kebocoran pada bahagian enjin yang menjejaskan nisbah mampatan. Ia biasanya disebabkan oleh gasket kepala silinder yang rosak lalu menyebabkan air radiator berkurangan dan memasuki ruang pembakaran.
6. Enjin kereta bergegar kuat
Apabila sedang memandu, awda biasanya akan merasakan getaran yang sederhana daripada bahagian enjin, terutamanya semasa bergerak pada kelajuan tertentu. Ini adalah normal. Namun, jika getaran menjadi lebih kuat daripada biasa, itu mungkin petunjuk bahawa terdapat masalah pada bahagian enjin kereta.
PROSES OVERHAUL ENJIN KERETA
Proses overhaul enjin kereta adalah proses yang kompleks dan melibatkan banyak langkah penting untuk memastikan enjin berfungsi dengan baik dan prestasi kenderaan dipulihkan kepada tahap yang optimum.
Berikut adalah penerangan ringkas mengenai proses ini:
• Keadaan enjin dan komponennya akan diperiksa terlebih dahulu.
• Enjin akan dikeluarkan daripada badan kereta.
• Enjin kereta akan dileraikan.
• Kesemua komponen enjin seperti gasket, kepala silinder, omboh, karburetor dan sebagainya akan dikeluarkan.
• Keadaan bahagian dalaman blok enjin akan diperiksa.
• Blok enjin dan semua komponen enjin akan dibersihkan.
• Jika terdapat kesan calar pada blok enjin, pembaikan akan dilakukan.
• Bahagian enjin yang bermasalah akan dibaiki dan komponen yang rosak akan digantikan.
• Enjin kereta akan dipasang semula.
• Enjin akan dimasukkan semula ke dalam badan kereta.
Proses top overhaul dan full overhaul bukan sahaja memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang betul, malah ia juga memerlukan belanja yang besar. Oleh sebab itu, ada pemilik kereta yang memilih untuk terus menukar blok enjin berbanding overhaul kerana kosnya lebih murah.
Jadi, sebelum buat apa-apa keputusan, awda disarankan untuk berbincang dengan mekanik awda untuk mendapatkan penyelesaian yang terbaik bagi masalah yang dialami oleh kereta awda. Awda juga boleh mendapatkan pandangan kedua daripada mekanik lain sebelum membuat keputusan. – Agensi

