“Kamu sayang abang lebih daripada saya!”
Jika awda seorang ibu bapa dan salah seorang anak menuduh awda lebih mengutamakan adiknya, ia pasti menyakitkan hati.
Bukankah awda sentiasa berusaha melayan semua anak sama rata? Dan bukankah awda secara semula jadi mencurah kasih sayang yang sama kepada mereka?
Walaupun itu mungkin niat awda, ibu bapa sering kali secara tidak sedar lebih rapat dengan seorang anak – kadang-kadang tanpa disedari, tetapi ada juga yang sedar.
Dalam tinjauan terbaharu oleh institut kaji selidik Jerman, Appinio, sempena Hari Ibu, 18 peratus responden mengaku mereka mempunyai anak kesayangan.

Perkara ini tidak mengejutkan Susanne Doll-Hentschker, profesor psikologi klinikal dan psikoterapi di Frankfurt University of Applied Sciences.
Katanya, sejurus selepas kelahiran anak, ibu bapa biasanya mencari persamaan dengan diri mereka.
“Ia hanyalah satu bentuk unjuran, tetapi jika awda nampak diri awda dalam anak, ia akan mempengaruhi cara awda melayannya,” jelas beliau.
Persamaan dan perbezaan dari segi pembawaan, minat atau peranan dalam keluarga boleh memupuk hubungan lebih rapat antara ibu bapa dan anak.
“Sesetengah anak lebih tenang, ada yang lebih mencabar. Dan terdapat juga fasa perkembangan di mana tingkah laku anak sukar difahami atau dikawal ibu bapa,” kata ahli psikologi Fabienne Becker-Stoll, pengarah Institut Negeri bagi Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Kompetensi Media (IFP) di Amberg, Jerman.
Contohnya, jika dalam fasa tersebut anak enggan menyiapkan kerja rumah, adalah perkara biasa jika ibu bapa kurang bersemangat membantu latihan matematik, katanya.
Namun, yang penting ialah mereka menyedari dinamika ini dan faham bahawa merekalah – bukan anak – yang bertanggungjawab mewujudkan hubungan harmoni.
“Anak mesti tahu dan rasa bahawa mereka disayangi tanpa syarat,” katanya. Ikatan yang kukuh memberi keyakinan diri kepada anak dan menghalang mereka daripada berasa kurang disayangi apabila adik-beradik lain mendapat lebih perhatian pada peringkat tertentu dalam perkembangan mereka.
“Layanan tidak sama itu tidak dapat dielakkan kerana setiap anak mempunyai keperluan berbeza,” tambah Doll-Hentschker. Menurutnya, adalah tidak wajar melayan anak berusia dua tahun sama seperti anak berusia empat tahun. “Jika awda jelaskan sebab perbezaan itu, mereka biasanya boleh menerimanya,” katanya.
Asalkan layanan tidak sama itu tidak berubah menjadi pilih kasih.
Melihat abang atau adik yang secara sistematik menerima lebih kasih sayang adalah sangat menyakitkan.
“Jika seorang anak berasa sentiasa dipinggirkan atau diabaikan, ia boleh memberi kesan buruk terhadap harga diri dan imej dirinya,” tegas Anja Lepach-Engelhardt, profesor psikologi perkembangan dan pendidikan di Private University of Applied Sciences (PFH) di Gottingen, Jerman.
ANAK KESAYANGAN JUGA ADA RISIKO
Namun, menjadi anak kesayangan juga boleh membawa kesan negatif jangka panjang.
“Mereka sering dipertanggungjawabkan lebih banyak menjaga ibu bapa,” katanya.
Faktor kelahiran boleh mempengaruhi status anak kesayangan, menurut Lepach-Engelhardt.
“Masa bersama anak sulung biasanya dialami dengan lebih intensif, mereka menerima banyak perhatian. Namun, mereka juga kerap diberikan tanggungjawab lebih besar.”
Kadangkala anak bongsu pula mendapat perhatian istimewa, manakala anak tengah sering mendapat paling sedikit.
Jantina juga boleh memainkan peranan. Satu meta-analisis yang diterbitkan tahun ini oleh Persatuan Psikologi Amerika (APA), melibatkan data sekitar 20,000 individu, menyimpulkan bahawa ibu bapa cenderung memberi layanan lebih baik kepada anak perempuan, anak yang tekun dan anak yang mudah dibawa berbincang.
Data itu juga menunjukkan adik-beradik yang menerima layanan istimewa cenderung memiliki kesihatan mental lebih baik, kurang masalah tingkah laku, pencapaian akademik lebih cemerlang, kawalan diri lebih baik dan hubungan lebih sihat. Data turut menyokong sebaliknya.
“Penting untuk difahami,” tulis para penyelidik, “PDT [parental differential treatment, atau layanan berbeza oleh ibu bapa] secara konsisten memberi kesan unik selain daripada pola keibubapaan secara umum. Dengan kata lain, hasil positif atau negatif yang dikaitkan dengan PDT bukan semata-mata soal ibu bapa baik atau buruk, tetapi tentang cara layanan berbeza yang diterima anak.”
PILIH KASIH JARANG DISENGAJAKAN
Pilih kasih jarang berlaku secara sedar. Dan bagi ramai ibu bapa, mengakui bahawa kualiti hubungan dengan setiap anak tidak sama ‘dirasakan tabu dan sering dinafikan dalam tinjauan tidak anonim,’ kata Lepach-Engelhardt.
“Namun, banyak kajian besar menunjukkan pilih kasih tanpa sedar berlaku dengan kerap, contohnya dalam bentuk lebih banyak perhatian, pujian atau kelonggaran diberikan kepada seseorang anak tertentu.”
INTROSPEKSI DAN KEJUJURAN
Apa yang perlu dilakukan jika awda lebih rapat secara emosi dengan salah seorang anak – jika sifatnya lebih serasi dengan awda, lebih mudah diajak berbicara dan lebih penyayang?
“Introspeksi dan kejujuran adalah langkah permulaan yang baik,” kata Lepach-Engelhardt.
Dia menyarankan agar ibu bapa bertanya kepada diri sendiri: Bagaimana saya bercakap dengan setiap anak? Berapa banyak masa saya habiskan dengan mereka? Apa yang menimbulkan tekanan, kekecewaan atau kemarahan saya terhadap mereka dan apa yang saya hargai?
“Kemudian tanyakan pada diri mengapa awda memberi lebih perhatian atau kelonggaran kepada seorang anak, sama ada ia kerap berlaku dan bagaimana awda boleh mengimbanginya – misalnya dengan membahagikan masa dan sumber secara sedar, atau seorang ibu dan seorang bapa meluangkan masa berasingan dengan anak-anak,” jelasnya.
Menurutnya, layanan adil tidak bermakna melayan semua secara sama rata, tetapi secara saksama.
Doll-Hentschker menambah bahawa datuk nenek juga boleh pilih kasih.
“Contohnya seorang nenek menyisihkan cucu bongsunya kerana menganggap keluarga sudah lengkap dan tidak perlukan anak lagi.”
Anak yang terkesan secara langsung oleh pilih kasih bukanlah satu-satunya yang menderita.
Hubungan adik-beradik juga boleh rosak teruk akibat persaingan, cemburu atau rasa bersalah.
Anak-anak akhirnya terperangkap dalam peranan yang bukan pilihan mereka.
“Sesetengah hubungan adik-beradik benar-benar hancur atau kekal tegang sepanjang hayat akibat perkara ini,” kata Doll-Hentschker.
Namun, luka emosi boleh dipulihkan jika ibu bapa dan anak dapat berbicara secara terbuka, dan ‘ibu bapa mengakui kesakitan yang dialami anak yang sering terpinggir,’ kata Becker-Stoll.
Mengambil tanggungjawab terhadap hubungan dengan anak serta bertanya, “Apa yang boleh saya lakukan untuk memperbaikinya?” katanya, adalah langkah penting untuk melihat setiap anak sebagai individu unik dan menghargai mereka dengan serius. – ANN/The Star

