Friday, January 31, 2025
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apa yang ada di balik pintu itu?

    Oleh Fad –

    Aku masih teringat saat pertama kali kami tiba di rumah itu. Lokasinya terpencil, dikelilingi hutan yang begitu sunyi hingga suara burung pun jarang kedengaran. Rumah itu kelihatan megah, tetapi usang, seperti menyimpan seribu rahsia yang tidak ingin diluahkan.

    “Ayah, kenapa rumah ini macam menyeramkan?” tanya adik bungsuku, Alif, dengan wajah penuh kebimbangan.

    “Inda usah takut. Rumah ani antah-antah warisan nenek moyang kitani. Jangan pikir yang bukan-bukan,” jawab ayah, cuba menenangkan Alif. Namun, aku tahu jauh di sudut hati, ayah juga kurang selesa.

    Kami mulai mengemas rumah itu. Di sudut ruang tamu, terdapat pintu hitam yang kelihatan aneh. Warnanya legam pekat, dengan ukiran halus yang hampir tidak dapat dilihat dalam cahaya suram. Pintu itu dikunci dengan rantai besi besar.

    “Kenapa pintu ani dikunci?” tanyaku kepada ibu.

    Foto Canva

    Ibu hanya menggeleng kepala sambil berkata, “Inda tahu, Sayang. Jangan buka pintu atu. Mungkin saja ada barang lama di dalam sana.”

    Tetapi naluriku mengatakan pintu itu lebih daripada sekadar tempat penyimpanan barang. Ada sesuatu tentangnya yang membuat bulu romaku meremang setiap kali aku melintasinya.

    PINTU TERBUKA

    Malam itu, hujan turun dengan lebat. Aku terjaga dari tidur setelah mendengar bunyi seperti rantai yang digeret di lantai. Aku cuba mengabaikannya, tetapi bunyi itu semakin kuat, seolah-olah datang dari ruang tamu.

    “Adakah orang lain terjaga?” bisik hatiku.

    Dengan perlahan, aku turun dari katil dan menuju ke ruang tamu. Aku terhenti apabila melihat pintu hitam itu. Rantainya tiada dan pintu itu sedikit terbuka, memperlihatkan kegelapan yang dalam.

    “Siapa yang buka pintu ani?” Aku bersuara perlahan, tetapi tiada jawapan.

    Tiba-tiba, aku mendengar suara yang berbisik. “Mari… masuklah…”

    Bulu romaku berdiri. Aku berpaling, tetapi tiada sesiapa di belakangku. Suara itu datang lagi, kali ini lebih dekat. Aku cuba melarikan diri, tetapi kakiku terasa berat, seolah-olah terpaku ke lantai.

    “Apakah… aku mesti keluar dari sini!” Aku memekik dalam hati.

    Keesokan paginya, aku menceritakan kejadian itu kepada ibu dan ayah.

    “Inda pandai-pandaikan buka pintu atu! Siapa tah suruh kau keluar malam tadi?” tegur ibu dengan suara keras.

    “Aku inda buat apa-apa! Pintu atu buka sendiri!” Aku cuba mempertahankan diriku.

    Ayah hanya termenung. Setelah beberapa saat, dia bersuara, “Mungkin sudah tiba masanya untuk kita tahu cerita sebenar tentang rumah ani.”

    Ayah membawa kami ke rumah penghulu kampung. Penghulu, seorang lelaki tua yang kelihatan uzur, hanya menggeleng kepala apabila mendengar cerita kami.

    “Rumah atu… banar-banar ada sesuatu. Dulu, ada keluarga lain tinggal di sana, tapi mereka hilang begitu saja. Pintu hitam atu… jangan sekali-kali cuba membukanya,” kata penghulu dengan nada bergetar.

    Aku dapat merasakan ketakutan yang terselindung di sebalik suara penghulu. Tetapi rasa ingin tahuku semakin membara. Apa sebenarnya yang ada di balik pintu itu? Dan mengapa ia terbuka sendiri?

    BAYANGAN GELAP

    Malam berikutnya, suara-suara aneh kembali mengganggu. Kali ini, bukan hanya aku yang mendengar. Ibu, ayah, dan Alif juga terjaga.

    “Kau dengar tu?” bisik ayah kepadaku.

    Aku mengangguk. Kami semua berkumpul di ruang tamu. Suara itu seperti nyanyian, tetapi penuh dengan nada yang menyeramkan.

    “Inda boleh begini lagi. Kitani perlu keluar dari rumah ani,” kata ibu sambil memeluk Alif erat.

    Tetapi sebelum kami sempat bertindak, bayangan hitam mula muncul dari celah pintu.

    Bentuknya seperti manusia, tetapi tidak memiliki wajah. Aku hanya mampu menjerit…
    Jeritanku mengejutkan semua orang. Ayah cepat-cepat menarik kami ke belakang, menjauh dari pintu hitam itu. Bayangan hitam itu bergerak perlahan, seperti sedang mengamati kami satu per satu.

    “Ayah, apa yang kitani buat sekarang?” tanyaku, dengan suara yang ketakutan.

    “Kitani mesti tutup pintu atu balik!” jawab ayah dengan nada tegas.

    Tetapi sebelum ayah sempat mendekati pintu itu, makhluk dari bayangan hitam itu mula berbicara. Suaranya dalam dan menggema, seperti berasal dari dasar bumi.

    “Rumah ini bukan milikmu… pergi… atau kalian tidak akan kembali…”

    Ayah terhenti. Kami semua terpaku. Namun, ayah menguatkan keberaniannya, mengambil rantai yang terjatuh di lantai, dan dengan cepat menutup pintu itu. Sebaik saja pintu itu tertutup rapat, bayangan hitam hilang, seperti disedut ke dalam kegelapan.

    Selepas itu, kami segera meninggalkan rumah itu. Ayah memutuskan untuk tidak kembali lagi. Rumah itu kini kosong, hanya menjadi kenangan yang menyeramkan.

    Namun, sebelum kami benar-benar pergi, aku melihat sesuatu di jendela. Bayangan hitam itu kembali, memandang kami dengan tatapan yang tidak akan pernah aku lupakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda