Bagaimana awda menangani anak yang mencuri? Anak saya mencuri daripada saya, daripada kedai, daripada rakan dan keluarga. Saya langsung tidak tahu bagaimana untuk memberinya peluang pembelajaran yang sesuai. Dia berumur 10 tahun.
Perbuatan mencuri sering kali benar-benar membuat ibu bapa panik kerana ia biasanya tingkah laku negatif pertama anak-anak yang melibatkan perbuatan menyalahi undang-undang.
Ibu bapa sememangnya menyayangi anak mereka, jadi mudah untuk bertindak keterlaluan dan bimbang anak akan berakhir di penjara hanya kerana mengambil gula-gula dari kedai.
Walaupun sukar, adalah penting untuk kekal tenang. Apabila kita hilang kawalan, kita mungkin berkata atau melakukan sesuatu yang akan kita sesali kemudian. Kita juga perlu mengelakkan daripada menjerit atau memalukan anak kerana tindakan itu tidak membantu mereka belajar apa-apa.
Sebaliknya, berikut ialah cara saya mungkin menangani anak berumur 10 tahun selepas dia mencuri.

PERBUALAN CONTOH:
Ayah: Saya perasan terdapat $300 hilang daripada dompet saya dan saya menemui wang itu di bilik kamu.
Anak: Wang itu diberi oleh pari-pari.
Ayah: Aduh. Saya tak akan berdebat.
Anak: Pari-pari kata, awak takkan percaya saya.
Ayah: Ini memang sukar. Saya akan bantu kamu belajar sesuatu kemudian.
(Kemudian…)
Ayah: Kamu mencuri wang itu daripada saya adalah satu masalah, sebab sekarang saya tak boleh percaya barang saya selamat apabila kamu berada berdekatan tanpa pengawasan. Dan saya juga tak boleh percaya kamu tidak akan mencuri barang orang lain apabila saya tak memerhatikan kamu. Ada idea macam mana kamu boleh selesaikan masalah ini?
Anak: Tak ada, sejujurnya.
Ayah: Saya dah fikir tentangnya dan sekiranya kamu tiada idea, saya sudah ada satu.
Supaya saya dan orang lain tidak perlu risau kamu mencuri barang, saya akan mengawasi kamu sehingga kamu tunjukkan bahawa kamu boleh dipercayai.
Anak: Apa maksudnya?
Ayah: Pertama, saya telah keluarkan semua barang yang boleh dicuri daripada ruang bersama di rumah ini kecuali katil dan bilik air saya, serta ruang bawah tanah tempat mainan dan sistem permainan kamu dan kakak kamu berada. Dalam beberapa minit lagi, kamu boleh ambil mana-mana mainan yang kamu mahu mainkan dari bawah tanah ke bilik kamu. Sistem permainan akan kekal di bawah tanah.
Anak: Tidak adil!
Ayah: Juga, kerana saya tak boleh percaya kamu tidak akan mencuri semasa saya tidak memerhatikan kamu, kamu tidak akan pergi ke mana-mana tanpa saya sehingga saya yakin kamu boleh dipercayai.
Anak: Macam mana dengan acara tidur di rumah Billy? Macam mana dengan pergi ke rumah nenek? Macam mana dengan lawatan ke taman tema bersama Billy dan ibu bapanya?
Ayah: Saya tidak boleh percaya barang Billy, ibu bapanya dan barang nenek akan selamat dengan kamu di situ, jadi kita terpaksa batalkan semua itu.
Anak: Tidakkkk!!!
Ayah: Apabila saya keluar bersama kamu, saya akan berada betul-betul di sebelah kamu, dengan harapan kehadiran saya akan mengi-ngatkan kamu supaya jujur, boleh dipercayai dan tidak mencuri. Selepas beberapa ketika, jika saya lihat kamu boleh dipercayai dalam keadaan ini, saya akan beri ujian kecil.
Sebagai contoh, saya akan benarkan kamu pergi sebentar ke ruang bawah tanah atau berada di lorong sebelah di kedai, jauh daripada saya. Jika kamu membuktikan bahawa kamu tidak mencuri dalam tempoh yang lama, saya akan benarkan kamu berada di tempat di mana kamu boleh mencuri tanpa pengawasan saya. Kamu kemudian akan dibenarkan pergi ke tempat-tempat, termasuk ruang bawah tanah, tanpa saya selama mana kamu tidak mencuri apa-apa.
Anak: Apa jadi kalau saya mencuri lagi?
Ayah: Kita terpaksa buat rancangan lain yang lebih besar untuk membolehkan kamu berlatih supaya tidak mencuri. Saya akan tetap menyayangi kamu tidak kira apa pun dan tidak kira berapa minggu, bulan atau tahun yang kamu perlukan untuk menunjukkan bahawa kamu boleh ingat untuk tidak mencuri.
Apabila anak tidak mencuri sesuatu (yang sebenarnya sepanjang masa), kita boleh mengukuhkan ketiadaan tingkah laku negatif itu dengan berkata, “Saya perasan kamu sedang bersikap jujur.”
Bukan sahaja rancangan ini memberi anak banyak latihan mengawal diri, malah ia juga memastikan semua barang orang lain selamat! – ANN/The Star

