Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apakah hukuman anak melakukan sariqah terhadap harta bapanya?

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Kedua

    Berikut sedikit penerangan mengenai syubhah berkenaan:

    Syubhah pertama: Anak wajib menanggung nafkah ibu bapa

    Menurut syara‘, seorang anak lelaki atau perempuan yang kaya atau berupaya bekerja mencari pendapatan serta hartanya atau pendapatannya itu pula berbaki setelah diperuntukkan untuk nafkah dirinya, anaknya dan isterinya (jika ada), wajib menanggung nafkah kedua ibu bapanya sekiranya bapanya seorang yang fakir.

    Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik”. (Surah Luqman: 15)

    Antara maksud makruf itu ialah menunaikan keperluan kedua ibu bapa ketika mereka memerlukannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman lagi dalam Surah al-Isra’ ayat 23 yang tafsirnya:

    “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dengan sebaik-baiknya”.(Surah al-Isra’: 23) Imam asy-Syirazi Rahimahullah berkata: “Dan sebahagian daripada ‘berbuat baik’ itu adalah dengan memberi nafkah kepada keduanya”.

    Wajib nafkah ini tidak terbatas kepada kedua ibu bapa sahaja, bahkan menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah, ia juga wajib diberikan kepada datuk-datuk serta nenek-neneknya.

    Gambar Freepik

    Selain kewajipan seorang anak menanggung nafkah ibu bapanya, disebutkan juga dalam kitab Nail al-Authar, bahawa seorang bapa harus menggunakan atau membelanjakan daripada harta anaknya selagimana ia dibelanjakan dengan cara yang baik serta tidak boros atau membazir.

    Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Sesungguhnya sebaik-baik yang kamu makan adalah daripada usaha kamu, dan sesungguhnya anak-anak kamu adalah daripada usaha kamu”. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ibn Majah dan Ahmad)

    ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawasanya seorang lelaki telah mendatangi Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu mengadu akan hal bapanya yang meminta nafkah dalam kadar yang sangat tinggi daripadanya.

    Lalu Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab yang maksudnya:

    “Engkau dan hartamu adalah bagi bapamu. Sesungguhnya anak-anak kamu adalah dari sebaik-baik usaha kamu, maka oleh itu makanlah daripada usaha anak-anak kamu”. (Hadits riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)

    Hadits ini juga diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah Rahimahullah melalui riwayat Jabir bin ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhuma.

    Dalam hadits di atas, jelas sekali bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak memberikan sebarang kelonggaran kepada lelaki tersebut untuk tidak memberikan nafkah kepada bapanya.

    Adapun sabda Baginda “hartamu adalah bagi bapamu” bukanlah bermaksud harta anak adalah milik bapanya. Akan tetapi ia bermaksud seorang bapa adalah harus hukumnya mengambil sebahagian harta anaknya dalam kadar yang diperlukan dan munasabah bagi memenuhi keperluannya.

    Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan bahawa kedua ibu bapa ada hak terhadap harta anaknya. Bahkan hak tersebut turut dimiliki oleh ushul-ushul yang lain. Menurut syara‘, ini satu syubhah yang menolak hukuman hadd daripada dilaksanakan terhadap pelaku sariqah daripada golongan ushul itu.

    Syubhah kedua: Ibu bapa wajib menanggung nafkah anak

    Seorang bapa wajib memberi nafkah kepada anaknya. Ini dengan syarat: (i) Anak tersebut masih kecil; tiada harta atau tiada pendapatan, atau fakir. (ii) Seorang bapa itu mempunyai lebihan daripada nafkah untuk dirinya sendiri dan nafkah isterinya bagi tempoh sehari semalam dan selebihnya, sama ada daripada hartanya ataupun daripada pendapatannya.
    Dalil dalam perkara ini antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Kemudian jika mereka menyusukan anak kamu, maka berikanlah mereka upah”. (Surah ath-Thalaq: 6)

    Apabila lahir seorang anak damit, adalah menjadi kewajipan kepada bapa anak damit itu untuk mencarikan orang yang boleh menyusukan anak tersebut, sama ada isteri (ibu kepada anak damit tersebut) atau perempuan lain.

    Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat di atas telah mewajibkan bayaran upah kepada perempuan yang menyusukan anak damit ditanggung dan dibayar oleh bapa anak damit tersebut. Dengan kewajipan menanggung dan membayar upah penyusuan anak damit tersebut, menghendaki bapa wajib memberi sara hidup dan nafkah kepada anak tersebut.

    Bahkan wajib juga dia menanggung nafkah cucunya walaupun sehingga ke bawah (anak kepada cucunya dan seterusnya daripada furu‘nya) sekiranya mereka itu tidak ada penjaga yang mampu menanggung nafkah mereka.

    Seorang ibu juga wajib menanggung nafkah anaknya sekiranya bapa anak tersebut tidak mampu menanggung nafkah anak berkenaan. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang tafsirnya:

    “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan penyusuan itu”. (Surah al-Baqarah: 233)

    Berdasarkan ayat ini, apabila syara‘ mewajibkan seorang ibu melakukan sesuatu yang seorang bapa tidak mampu melakukannya, iaitu menyusukan anak, maka wajib juga ibu itu menanggung nafkah anak sekiranya bapa anak tersebut tidak mampu berbuat demikian.

    Bagaimanapun, sebelum ia wajib ditanggung oleh ibu, kewajipan itu jatuh terlebih dahulu kepada ushul-ushul lain, iaitu kepada datuknya, kemudian bapa kepada datuknya dan begitulah seterusnya hingga ke atas. Jika tidak ada, maka barulah ia menjadi kewajipan ibunya.

    Ini jelas menunjukkan seorang anak juga ada hak nafkah terhadap harta kedua ibu bapa serta ushul-ushulnya yang lain. Menurut syara‘, ini satu syubhah yang menolak hukuman hadd daripada dilaksanakan terhadap pelaku sariqah daripada golongan furu‘.

    Walaupun jenayah sariqah yang berlaku antara ushul dan furu‘ ini tidak dikenakan hukuman hadd, ini tidak bererti pelaku sariqah itu terlepas daripada hukuman. Bahkan kes itu akan diselesaikan secara ta‘zir di mana jika sabit kesalahan; menurut Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah, 2013, pesalah boleh dikenakan suatu denda tidak melebihi $40,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, dikenakan suatu denda tidak melebihi $56,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 14 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Demikian penjelasan mengenai hukuman jenayah sariqah yang berlaku di antara ushul dan furu‘. Secara kesimpulannya, kes sariqah yang berlaku antara ushul dan furu‘ iaitu seorang ibu atau bapa hingga ke atas melakukan sariqah terhadap harta anak hingga ke bawah, atau seorang anak hingga ke bawah melakukan sariqah terhadap harta ibu atau bapa hingga ke atas tidak dikenakan hukuman hadd kerana terdapat syubhah yang menghalangi hukuman hadd daripada dilaksanakan. Sebaliknya, kes ini akan diselesaikan secara ta‘zir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda