Thursday, March 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apakah khabar kontinjen negara kita?

    Kita sudah sedia maklum bahawa Sukan Asia Tenggara (SEA GAMES) edisi ke-30 akan diadakan di Republik Filipina mulai 30 November hingga 11 Disember tahun ini.

    Oleh itu, kita sendiri dapat menyaksikan persiapan rapi kontinjen negara jiran dalam menentukan atlet mana yang akan dihantar dan menerima tajaan sepenuhnya serta atlet mana yang akan menggunakan perbelanjaan persatuan sendiri bagi memastikan mereka mendapat tempat dalam sama-sama mengharumkan nama negara mereka dalam temasya sukan tersebut.

    Justeru, apakah perkhabaran kontinjen negara kita? Kenapa masih sunyi dan tidak ada berita mengenai persediaan atau persiapan mereka. Adakah kita punya senjata rahsia untuk menuai hasil dan mengatasi pihak lawan? Atau seperti biasa membuat pengumuman saat-saat akhir tanpa membuat liputan persediaan atlet kita yang kadangkala tidak kita ketahui dari mana asalnya.

    Dan soalan cepumas yang selalu kedengaran, mengapa sering dilakukan latihan saat-saat akhir sedangkan post mortem sudah pun dibuat dua tahun lalu?

    Peminat sukan seluruh negara sudah lama menunggu dan menanti tuaian emas daripada kontinjen negara. Format latihan yang kurang sistematik, pendedahan yang amat sedikit di arena serantau dan antarabangsa, kaedah menaikkan semangat atlet sebelum dan semasa bertanding, kepekaan atlet dan jurulatih mengenai kemajuan serta pembangunan sukan serantau yang masih rendah dan hanya mampu berbangga memecah rekod peribadi, sudah dianggap old school dan tidak lagi relevan.

    Ini baharu Asia Tenggara. Apa khabar Sukan Olimpik tahun depan di Tokyo? Sukan Solidariti Islam Istanbul 2021? Sukan Komanwel di Birmingham 2022? Sukan Asia di Republik RAakyat China 2023? Sudah tiba masanya kita menjadi perhatian dengan serba sedikit kemajuan.

    Kita tidak akan dapat bersembunyi di bawah tempurung lagi sedangkan sukat-sukat kemajuan sukan kita terlalu dahagakan kesejahteraan atlet, kesetiaan terhadap jurulatih dan ketaatan terhadap sistem latihan yang pragmatik dan proaktif.

    Ayuh Brunei, pastikan mulai saat ini, jam ini, hari ini dan tahun ini adalah babak permulaan kita untuk menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang dalam sukan tidak kira di darat, di laut dan di udara.

    Sudah tiba masanya semua akan segan, kagum dan hormat akan kita sebagai atlet. – Pemerhati prihatin, Bunut

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda