AFGHAN/NEW YORK, 16 OGOS – Agensi utama PBB untuk kesaksamaan jantina kelmarin meminta masyarakat global terus menyokong perubahan di Afghanistan, dengan mengingatkan sekatan menyeluruh Taliban terhadap hak wanita dan gadis di negara itu, lapor Xinhua.
Pengarah eksekutif Wanita PBB, Sima Bahous membuat rayuan itu dalam satu kenyataan bersempena dua tahun pentadbiran Taliban sejak menguasai semula negara itu.
“Melalui lebih 50 dekri, perintah dan sekatan, Taliban tidak membiarkan sebarang aspek kehidupan wanita tanpa disentuh, tiada kebebasan yang terkecuali. Mereka telah mewujudkan sistem yang diasaskan atas penindasan besar-besaran terhadap wanita yang dianggap sebagai aparteid jantina,” katanya.
“Saya menggesa Taliban untuk mempertimbang semula dan menilai tindakan mereka untuk masa kini dan masa depan Afghanistan,” tambah Bahous. Bahous menekankan ketekunan dan kesungguhan Wanita PBB terhadap nasib wanita dan gadis di negara itu.
“Di sebalik cabaran ini, wanita Afghanistan juga memberitahu saya bahawa mereka tidak akan berputus asa atau mengalah. Mereka akan terus memimpin perjuangan menentang penindasan mereka,” katanya.
“Dalam menghadapi keadaan itu, me-reka bersuara menentang pencabulan, menyediakan perkhidmatan menyelamatkan nyawa, memiliki dan mengendalikan perniagaan, dan menjalankan organisasi wanita.
“Keberanian mereka wajar menjadi inspirasi kepada tindakan lebih besar,” kata Bahous.
“Saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk terus menggunakan setiap tekanan dan cara yang ada pada mereka untuk mendesak perubahan, termasuk menyahut seruan komuniti kemanusiaan dan membiayai sepenuhnya rayuan kemanusiaan untuk Afghanistan,” katanya. – Bernama


