HONG KONG, 28 MEI – Penduduk Hong Kong yang keberatan mengambil suntikan vaksin koronavirus COVID-19 kini mungkin tertarik untuk berbuat demikian apabila taikun hartanah menyumbangkan sebuah apartmen baharu kepada ‘cabutan bertuah vaksin.’
Bernilai HK$10.8 juta (AS$1.4 juta), apartmen satu bilik itu akan menjadi hadiah cabutan utama, pemaju hartanah mengumumkan hari ini.
Ia juga menawarkan 20 lagi hadiah-hadiah lain bernilai sehingga HK$100,000 setiap satu.
Hong Kong merupakan salah sebuah wilayah di dunia yang sudah pun mendapat lebih daripada cukup dos untuk menginokulasi semua 7.5 juta penduduknya. Namun ketidakpercayaan meluas terhadap kerajaan, digabung dengan sikap tidak memerlukan tindakan segera di bandar yang bebas virus itu – telah mengakibatkan sikap teragak-agak penduduk dan kempen inokulasi yang amat perlahan.
Berusaha meningkatkan pengambilan vaksin, Kumpulan Sino, Yayasan Kebajikan Ng Teng Fong dan Chinese Estates Holdings mengatakan semua penduduk Hong Kong berusia 18 tahun dan ke atas yang menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19 layak untuk mendaftar bagi cabutan bertuah sehingga 1 September.
Hanya penduduk tetap layak menyertai cabutan bertuah bagi hadiah apartmen di wilayah yang mempunyai pasaran perumahan paling mahal di dunia. “Kami berharap dapat meningkatkan kadar vaksinasi Hong Kong melalui cabutan bertuah ini,” kata Daryl Ng, pengarah yayasan dalam satu kenyataan. – AFP
