Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Hampir 200 delegasi termasuk wakil dari Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan di Asia, para atlet, lembaga eksekutif Perhimpunan Agung dan Persidangan Majlis Paralimpik Asian (APC), wakil Federasi Antarabangsa dan perwakilan pertubuhan-pertubuhan sukan global telah menghadiri APC ke-8, baru-baru ini.
Persidangan yang buat julung kali diadakan itu telah berlangsung di Astana, Kazakhtan.
Pada acara tersebut Presiden Majlis Paralimpik Negara Brunei Darussalam, Awang Ali Yusri bin Abdul Ghaffor telah melahirkan penghargaan atas jemputan rasmi menyertai persidangan itu.
“Persidangan selama dua hari telah banyak memberi manfaat dan menyediakan peluang-peluang bagi penyertaan dan penglibatan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negara ini dalam beberapa acara yang diketengahkan oleh APC,” jelasnya.
Katanya lagi, “Sepanjang persidangan berlangsung para delegasi telah berinteraksi dan bertukar pendapat menerusi sesi pembentangan bagi mengemas kini tadbir urus Jawatankuasa Paralimpik Nasional, di samping menyeru untuk meningkatkan penyertaan belia dan wanita dalam sukan-sukan Paralimpik”.
Persidangan berkenaan merupakan strategi bagi pergerakan, perkukuhkan kerjasama, pengiktirafan pencapaian para atlet dalam memajukan dan sebagai platform inklusif bagi Paralimpik Asia.
“Kami berharap akan mendapat sokongan yang lebih padu daripada ibu bapa, masyarakat dan berbagai persatuan-persatuan untuk membantu kejayaan golongan OKU agar mereka dapat berdikari dan dapat membanggakan keluarga dan negara,” jelasnya.


