JEJU, 16 MEI – Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) hari ini menyatakan ‘kebimbangan’ terhadap cabaran yang dihadapi perdagangan global, ketika para menteri negara-negara APEC bertemu di Korea Selatan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat susulan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Para menteri perdagangan daripada ekonomi utama anggota APEC berkumpul di Pulau Jeju, Korea Selatan, di tengah kebimbangan terhadap sistem perdagangan global selepas Presiden AS, Donald Trump, mengenakan tarif besar-besaran terhadap kebanyakan rakan dagang.
AS merupakan anggota penting APEC, diwakili oleh Wakil Perdagangan, Jamieson Greer, yang mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan negara-negara yang berharap untuk mengurangkan kesan tarif dari Washington.
“Kami bimbang dengan cabaran asas yang dihadapi sistem perdagangan global,” kata para menteri perdagangan dari 21 negara anggota dalam satu kenyataan bersama.
Mereka menyeru kerjasama yang lebih besar dan menegaskan komitmen mereka terhadap APEC sebagai platform untuk ‘menyatukan kita dalam menangani cabaran ekonomi yang dihadapi rantau ini’.
Menteri Perdagangan Korea Selatan, Cheong In-Kyo, berkata kenyataan bersama itu dicapai dengan sukar memandangkan terdapat “perbezaan ketara” dalam pendirian sejak awal rundingan.
Namun, pada saat akhir, negara-negara tersebut mencapai persetujuan secara ‘dramatik’, katanya, dengan APEC menekankan kepentingan mekanisme perdagangan global seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), serta rantaian bekalan yang mampan.
Cheong menambah tiada perbincangan mengenai ‘tindakan balas bersama’ terhadap tarif AS kerana ‘setiap negara berdepan keadaan yang sangat berbeza’.
Korea Selatan mencatat lebihan dagangan sebanyak AS$66 bilion dengan AS tahun lalu – di belakang Vietnam, Taiwan dan Jepun – menjadikannya sasaran utama dalam dasar perdagangan Trump.
Bergantung tinggi kepada eksport, Korea Selatan terkesan teruk dengan tarif 25 peratus terhadap industri automobil yang dikenakan oleh Trump pada awal April. – AFP
