Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    APEC pertingkat transformasi ekonomi berasaskan AI

    KUALA LUMPUR, 3 OGOS – Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sedang mempertingkat usaha bagi memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam mentransformasikan dan membentuk semula ekonomi dan masyarakat di rantau Asia Pasifik adalah selamat, inklusif dan mampan.
     
    Pengarah Agensi Teknologi dan Piawaian Korea (KATS), Dr Jin-seok Bae berkata AI menawarkan peluang besar dan cabaran kompleks yang tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana ekonomi secara bersendirian.
     
    “AI sedang mentransformasikan industri dan kehidupan seharian kita dengan pesat, namun tanpa piawaian bersama, kita berisiko mengalami perpecahan dan rasa tidak percaya,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Persidangan Piawaian AI APEC di Incheon, Korea Selatan.
     
    Lebih 200 penggubal dasar, ahli teknologi dan pakar piawaian telah berhimpun dalam persidangan itu bagi memacu tumpuan dalam tadbir urus AI dan penjajaran teknikal di seluruh rantau ini.
     
    “Persidangan ini memberi peluang kepada ekonomi APEC untuk menjajarkan usaha, bertukar-tukar pengetahuan dan menyokong kerjasama antarabangsa dalam membentuk tadbir urus AI yang selamat, inklusif dan berpandangan jauh,” katanya.
     
    Persidangan dua hari itu menyediakan latihan praktikal, perkongsian amalan terbaik dan mengetengahkan perspektif daripada badan piawaian global sekali gus menekankan bahawa kerjasama antarabangsa adalah teras kepada pembangunan AI yang bertanggungjawab.
     
    Pada majlis pembukaan persidangan itu, Timbalan Setiausaha Agung Organisasi Piawaian Antarabangsa (ISO), Silvio Dulinski menekankan peranan piawaian antarabangsa dalam membina kepercayaan, keadilan dan keselamatan dalam AI.
     
    Beliau berkata piawaian menawarkan alat boleh skala berpacukan konsensus bagi menjajarkan peraturan dan memastikan kepelbagaian dan keterangkuman dalam tadbir urus AI. – Bernama
     
    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda