Saturday, April 19, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apek tidak sabar menunggu kepulangan Yassin

    Pelawak Saiful Apek meluahkan perasaan hampa apabila hasrat meraikan kepulangan sahabat baiknya yang juga anggota Senario iaitu Yassin Yahya ke tanah air sebelum Aidilfitri tidak kesampaian, lapor mStar.

    Apek atau nama sebenarnya, Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, berkata, perkara itu terjadi susulan terdapat kekangan termasuk beberapa prosedur yang perlu dijalani oleh Yassin yang kini ditahan di Arab Saudi sebelum dibenarkan pulang ke negara ini.

    “Sepatutnya Yassin sudah balik sebelum Aidilfitri, namun ia agak rumit kerana membabitkan antara dua kerajaan.

    “Ada beberapa masalah dari segi visa, tiket dan sebagainya. Selain itu, Yassin juga perlu melalui satu lagi proses pemindahan depoh. Saya tak pasti prosedurnya, tetapi apa yang saya boleh cakap, insya-Allah dalam masa yang terdekat ini.

    “Cuma, saya kecewa jugalah sebab saya sudah uar-uarkan Yassin akan pulang sebelum Aidilfitri. Saya rasa sangat gembira bagi pihak keluarganya termasuk anggota Senario,” katanya ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya berjudul 6 Jilake di ibu negara, semalam.

    Filem terbitan Eartistic Entertainment dengan kerjasama Primeworks Studio itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 24 April ini.

    Dalam pada itu, sebagai sahabat, pelakon filem Cicak-Man itu mengakui, tidak sabar bertemu sahabatnya dan mendengar sendiri penjelasan apa yang berlaku di Jeddah.

    “Sebaik sahaja tiba, saya akan sambut Yassin. Bagaimanapun, kita juga kena beri Yassin berehat dulu. Saya pasti ada banyak benda yang dia mahu kongsikan, jadi saya tak sabar.” – Agensi

    Saiful Apek meluahkan kekecewaannya tidak sempat beraya bersama Yassin. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda