Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    APG 2022 buka tirai

    HANGZHOU, 22 OKT – Tuan rumah China sekali lagi menampilkan upacara pembukaan yang cukup menakjubkan sempena Sukan Para Asia (APG) edisi keempat selepas 14 hari berakhirnya temasya Sukan Asia 2022, di sini malam ini.

    Berslogankan ‘Hearts Meet, Dreams Shine’ di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, keunikan ditampilkan tuan rumah menerusi persembahan kebudayaan selain penerapan unsur skrin futuristik memeriahkan suasana stadium yang mampu menempatkan lebih 70,000 penonton.

    Perasmian dimulakan dengan penceritaan tentang kecekalan seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami masalah penglihatan, berusaha mengejar cita-citanya menggunakan replika pokok Osmanthus sebagai simbolik.

    Kontinjen Malaysia terdiri daripada 26 atlet dan 22 pegawai memasuki stadium selaku Kontinjen ke-21, diketuai chef de mission, KM Rajendran sementara atlet badminton para, Muhammad Ikhwan Ramli dan atlet lompat jauh para, Nani Shahiera Zawawi menggalas tugas bersama membawa Jalur Gemilang.

    Mereka berarak masuk memperagakan konsep busana kasual tampak ringkas, moden dan elegan dipadankan dengan tudung berkonsepkan batik Malaysia sekali gus menggambarkan golongan atlet para juga tidak ketinggalan dalam menempuh arus modenisasi dan memenuhi elemen kebudayaan.

    Naib Premier China, Ding Xuexiang merasmikan upacara pembukaan penuh gilang-gemilang itu bagi menandakan bermulanya temasya yang disertai lebih 3,500 atlet dari 43 negara.

    Perasmian kemudian diselangi dengan perarakan masuk bendera Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) serta lafaz ikrar oleh wakil atlet serta pegawai pertandingan di hadapan Presiden APC, Majid Rashed dan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Andrew Parsons.

    Upacara perasmian itu dilengkapkan dengan penyalaan kawah api temasya oleh kalangan atlet para tuan rumah dengan menggunakan obor tradisional. – Bernama  

    Dalam foto yang dikeluarkan oleh agensi berita Xinhua ini, kawah api dinyalakan semasa upacara pembukaan Sukan Para Asia ke-4 di Hangzhou, China, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...