KUALA LUMPUR, 18 OGOS – Sukan Para Asia (APG) di Hangzhou, China yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada Oktober tahun ini, kini akan diadakan pada 22 hingga 28 Oktober 2023.
Jawatankuasa Sukan Paralimpik Antarabangsa (IPC) dalam kenyataan berkata keputusan mengenai tarikh baharu itu dibuat selepas perbincangan diadakan antara Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC), Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asia Hangzhou (HAPGOC), Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan China dan pihak berkepentingan lain.
“Tempoh (penganjuran) sukan itu kekal tidak berubah. Tarikh baharu itu dipersetujui selepas mengambil kira temasya Sukan Para biasanya diadakan dua minggu selepas penutupan Sukan Asia.
“Dan untuk memastikan bahawa tarikh yang dicadangkan tidak bercanggah dengan acara antarabangsa yang lain,” kata IPC.
Majlis Olimpik Asia (OCA) bulan lepas mengumumkan bahawa tarikh baharu sukan Asia, yang pada asalnya dijadualkan diadakan pada Oktober tahun ini, akan ditukar pada 23 Sept hingga 8 Oktober 2023. – Bernama
