Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Aplikasi mudah alih BruHealth, khususnya penggunaan pengimbasan kod QR di tempat keluar masuk premis, akan membantu dalam memastikan keselamatan orang ramai termasuk penjual dan pelanggan serta memudahkan Kementerian Kesihatan bagi membuat pengesanan kontak sekiranya terdapat penularan jangkitan COVID-19.
Aplikasi berkenaan digunakan untuk memeriksa para jemaah apabila masjid mula dibuka untuk solat Jumaat serta juga bagi masuk dan keluar dari restoran, kafe, gerai makanan, padang golf, fasiliti sukan dan premis-premis lain yang akan diumumkan pada masa akan datang.
Di samping itu, selain daripada masjid, gereja dan tokong juga diperlukan untuk mendapatkan kod QR BruHealth di mana keperluan itu amat penting bagi tempat-tempat berkenaan yang berisiko tinggi serta perlu patuh kepada peraturan kapasiti 30 peratus dan amalan penjarakan sosial.
Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan menyeru mereka yang belum mendaftar adalah digalakkan untuk memuat turun dan mendaftar ke aplikasi berkenaan. Ke arah itu, orang ramai mempunyai empat cara bagi mereka untuk memasuki premis-premis menggunakan BruHealth.
Cara pertama ialah untuk memuat turun aplikasi BruHealth dan mendaftar diri mereka sendiri dan kemudian mendapat kod serta mengimbas kod QR BruHealth yang terdapat di premis-premis.


Cara kedua ialah individu yang telah mendaftarkan diri ke aplikasi BruHealth boleh mendaftarkan ahli keluarga mereka dan cara ketiga adalah bagi jemaah yang tidak ada akses ke aplikasi BruHealth, mereka boleh mendaftar melalui web-app BruHealth di www.healthinfo .gov.bn untuk mendapatkan kod fardu Jumaat dan kemudiannya, kod berkenaan boleh ditunjukkan kepada pegawai masjid yang bertugas.
Cara keempat ialah bagi orang ramai yang tidak ada akses ke aplikasi BruHealth, boleh mendaftar melalui www.healthinfo.gov.bn untuk mendapatkan Kod QR Peribadi BruHealth, kemudian kod tersebut perlu diimbas oleh pemilik premis dengan menggunakan aplikasi PremiseScan.
Aplikasi BruHealth juga akan menyatakan jika sesebuah tempat itu seperti masjid atau restoran telah memenuhi kuota 30 peratus dan jika sudah penuh, para pengguna tidak akan dapat mendaftar dan perlu mencari masjid atau restoran lain.
Selain daripada itu, bagi mereka yang menunaikan solat Jumaat, mereka juga perlu untuk mengemaskinikan pemeriksaan diri mereka pada hari mereka mengadakan sembahyang Jumaat di masjid serta perlu untuk terus mengemaskinikan status mereka bagi tempoh seminggu untuk menjejak keadaan kesihatan mereka selepas itu.
Mereka yang tidak mengemaskinikan pemeriksaan diri mereka, tidak akan dibenarkan untuk menggunakan aplikasi itu apabila mereka mendaftar pada masa akan datang di mana ia akan menganggap individu itu sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.