SYARIKAT MindPlus Education Sdn Bhd mengadakan Jerayawara Islamic Mind bagi para pelajar dan guru-guru Sekolah Ugama Kampung Bolkiah (SUKB) Kawasan Brunei IV, yang berlangsung di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (MYSHHB), Kampung Bolkiah baru-baru ini.
Dengan hasrat untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan kesedaran para pelajar mengenai pendidikan menggunakan aplikasi teknologi maklumat, Islamic Mind juga telah melancarkan dan memperkenalkan buku aktiviti Islamic Mind yang beransur e-book buku yang mengandungi soalan serta jawapannya sekali bagi memudahkan para pelajar dan guru-guru.
Menguji kefahaman
Jerayawara tersebut dikendalikan oleh wakil-wakil daripada syarikat berkenaan yang diketuai oleh Awang Muhammad Fatin Abdul Rahman bin Kifli selaku ketua projek.

Ketika jerayawara itu diadakan, kuiz spontan turut diadakan bagi menguji pemahaman pelajar-pelajar mengenai ilmu pengetahuan yang disalurkan melalui aplikasi berkenaan dan hasil maklum balas daripada mereka adalah positif serta amat memberangsangkan dan menyeronokkan.
Pemangku Guru Besar SUKB, Dayang Rozni binti Haji Mat Zahari, seterusnya menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua rombongan jerayawara dan berpuas hati dengan aplikasi yang telah ditunjukkan serta berharap kerjasama seumpama itu akan dapat diteruskan dan dikembangkan lagi pada masa hadapan.