Saturday, May 3, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aplikasi janji temu Jepun guna data kerajaan sekat pasangan curang

    TOKYO, 2 MEI – Sebuah aplikasi janji temu terkenal di Jepun kini menggunakan data rasmi kerajaan untuk mengesahkan status perkahwinan pengguna, sebagai langkah mengekang pasangan curang yang berpura-pura bujang.

    Aplikasi tersebut, Tapple, yang mempunyai lebih 20 juta pengguna di Jepun – sebuah negara yang sedang berdepan krisis demografi – memperkenalkan ciri baharu itu pada Rabu.

    Menurut Tapple, lebih separuh pengguna – 69 peratus wanita dan 54 peratus lelaki – menyuarakan kebimbangan terhadap kejujuran ahli lain mengenai status perkahwinan mereka. Malah, 97 peratus wanita dan 83 peratus lelaki mahu dapat memastikan sama ada pasangan yang berpotensi itu benar-benar bujang.

    Ciri itu dibangunkan bagi “menggalakkan persekitaran janji temu dan pencarian jodoh yang lebih selamat dan boleh dipercayai,” kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan.

    Pengguna perlu memberikan kebenaran kepada aplikasi itu untuk mengakses portal kerajaan dalam talian. Selepas pengesahan, akaun milik individu yang didapati sudah berkahwin akan digantung.

    Gambar Freepik

    Tinjauan oleh kerajaan Jepun pada Julai 2024 mendapati satu daripada empat pasangan yang berkahwin sebelum usia 40 tahun bertemu pasangan mereka melalui aplikasi janji temu.

    Sebagai negara kedua tertua di dunia selepas Monaco, Jepun kini berusaha keras memacu peningkatan kadar kelahiran. Antaranya, kerajaan bandar Tokyo membangunkan aplikasi janji temu sendiri yang mewajibkan pengguna mengemukakan dokumen membuktikan mereka bujang dan menandatangani surat aku janji bahawa mereka bersedia untuk berkahwin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda