TOKYO, 29 JUN – Kucing dianggap sebagai tuah di Jepun dan pemilik haiwan peliharaan popular itu sanggup berbelanja besar untuk penjagaan haiwan berkenaan.
Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui sekiranya si bulus tidak gembira?
Sebuah firma teknologi dan universiti di Tokyo telah bekerjasama untuk menghasilkan satu aplikasi yang dilatih meneliti beribu-ribu gambar kucing yang boleh memberitahu kucing sebenarnya sedang kesakitan.
Sejak dilancarkan bulan lepas, Cat Pain Detector telah mengumpulkan 43,000 pengguna, bukan sahaja di Jepun tetapi di Eropah dan Amerika Selatan, kata Ketua Pemaju Carelogy, Go Sakioka.
Aplikasi itu merupakan sebahagian daripada rangkaian teknologi yang semakin berkembang bagi pemilik haiwan peliharaan yang prihatin terhadap kesejahteraan kucing mereka, termasuk penjejak perasaan dan kesakitan yang serupa dibuat di Kanada dan Israel.
Carelogy bekerjasama dengan Kolej Sains Biosumber Universiti Nihon untuk mengumpulkan 6,000 gambar kucing, di mana mereka mengkaji dengan teliti kedudukan telinga, hidung, misai dan kelopak mata haiwan tersebut.
Mereka kemudian menggunakan sistem pemarkahan yang direka oleh Universiti Montreal untuk mengukur perbezaan kecil antara kucing yang sihat dan si bulus yang menderita akibat penyakit yang sukar dikesan.
Seterusnya, pembangun aplikasi memasukkan maklumat tersebut ke dalam sistem pengesanan AI, yang telah diperbaiki kemahirannya berasaskan kira-kira 600,000 gambar yang dimuat naik oleh pengguna, kata Sakioka.
Kini aplikasi itu “mempunyai tahap ketepatan lebih daripada 90 peratus,” katanya kepada AFP.
Menurut Persatuan Makanan Haiwan Peligaraan Jepun, 60 peratus pemilik membawa kucing mereka bertemu doktor haiwan sekurang-kurangnya sekali setahun. – AP
