Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aplikasi mengalinga memperkasa penglibatan golongan sukarelawan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Menjadi seorang sukarelawan bukanlah suatu tugas yang mudah dan seorang individu itu perlu memiliki prinsip-prinsip ideal dan pengetahuan serta kemahiran asas sebagai sukarelawan untuk melakukan sebarang tindakan dalam pembuatan keputusan dan pelaksanaan.

    Suka, rela dan ikhlas merupakan ciri asas bagi seorang sukarelawan dalam melaksanakan tugasnya. Mereka perlu menyemai sikap komitmen yang tinggi, berkeyakinan dan sentiasa bersiap sedia dari segi mental dan fizikal dalam menghulurkan pelbagai bentuk bantuan secara proaktif dan kreatif tanpa mengharapkan ganjaran semata-mata.

    Itulah yang dinamakan sebagai seorang sukarelawan yang berkualiti, umpama permata berkilauan yang berjiwa emas. Alangkah bertuahnya sesebuah negara jika masyarakatnya memiliki mata, hati dan jiwa sentiasa ‘mengalinga’ insan-insan di sekeliling tanpa mengenal agama dan bangsa serta pangkat untuk memikul tanggungjawab bersama demi mewujudkan kesejahteraan tanah air di mana mereka dilahirkan.

    ‘Mengalinga’ demi masyarakat dan negara

    Sejajar dalam sama-sama merea lisasikan masyarakat berjiwa emas bersulam semangat bak peribahasa Melayu Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, maka begitulah harapan tinggi yang diketengahkan dalam aplikasi mudah alih tempatan, Mengalinga.

    Aplikasi digital ini sebagai platform untuk memperkasakan penglibatan golongan sukarelawan dalam acara yang dianjurkan oleh syarikat, organisasi dan organisasi bukan kerajaan (NGO), dan untuk penganjur mempelawa sukarelawan bagi menyertai acara-acara mereka.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mendengarkan penjelasan daripada Hajah Nurul Haniah mengenai penglibatan syarikat dalam aplikasi Menglinga. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
    Baginda Sultan ketika berkenan melancarkan aplikasi Mengalinga semasa berlangsungnya Majlis Sambutan HBK ke-16 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pada 7 Ogos lalu. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
    Pengurus projek bersama Mengalinga, Dr Muhammad Nuriskandar semasa ditemui Media Permata, baru-baru ini. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

    Aplikasi tersebut secara rasminya dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-16 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pada 7 Ogos lalu.

    Pengurus projek bersama Mengalinga, Dr Muhammad Nuriskandar bin Mohd Hasnan berkata adapun kejayaan penciptaan aplikasi digital itu merupakan kerjasama antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Bank Baiduri dan mahasiswa serta mahasiswi Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    “Konsep awal aplikasi teknologi tersebut bermula dari cetusan karya ciptaan mahasiswa dan mahasiswi, Tahun 3, UTB yang sedang mengikuti pengajian tahun terakhir mereka dan sekarang, teknologi itu sedang dipertingkatkan lagi oleh Nextacloud,” ujar beliau lebih lanjut yang turut meluahkan perasaan terharu apabila menyaksikan betapa hebatnya usaha para mahasiswa dan mahasiswi tersebut dalam bertungkus lumus menyediakan teknologi untuk kepentingan masyarakat di negara ini, di samping keteguhan rakan kongsi strategik Bank Baiduri atas segala sumbangannya sehingga membawa kepada kejayaan projek tersebut.

    Platform pembakar semangat sukarelawan

    Berkongsi lanjut mengenai aplikasi berkenaan, Dr Muhammad Nuriskandar menjelaskan ia merupakan sebuah platform di mana orang ramai yang berhasrat untuk menjadi sukarelawan membuat pendaftaran, selain memberi kemudahan kepada mana-mana pihak organisasi untuk menawarkan program-program tertentu, dan pada masa yang sama menyediakan direktori dan makluman mengenai NGO khususnya yang mewarnai tanah air ini dengan pelbagai kegiatan kesukarelawan tertentu.

    “Perkembangan aplikasi berkenaan telah bermula sekitar bulan November tahun lepas di mana mereka pada mulanya berhubung dengan beberapa mahasiswa dan mahasiswi UTB yang kemudian terciptanya sebuah konsep. Dari situlah, teknologi itu mula dipindahkan dan dipertingkatkan ke versi yang lebih sempurna dan mantap,” ujar beliau lagi.

    Penggunaan sistem mata

    Menariknya lagi, jelas Dr Muhammad Nuriskandar, konsep aplikasi ini juga akan dapat menyaksikan prestasi keaktifan individu dalam bidang sukarelawan dengan menggunakan sistem mata.

    Tambahnya, mengambil contoh individu yang aktif menyertai sesebuah program, maka individu tersebut akan memperoleh mata sebagaimana yang telah ditetapkan. Setelah individu mencapai sejumlah mata tertentu, barulah penglibatan mereka dapat dilihat oleh pengguna aplikasi tersebut.

    Sehubungan dengan itu, berbicara perihal aspek organisasi, Dr Muhammad Nuriskandar menyatakan jika mereka aktif menawarkan program dengan mewujudkan pelbagai impak positif, organisasi tersebut juga akan menerima mata dan lencana yang semestinya berfungsi sebagai sebuah motivasi untuk terus berusaha dan berjuang menawarkan program dan pelbagai aktiviti kepada masyarakat di negara ini.

    “Perlu diketahui juga, dengan terciptanya aplikasi ini bukanlah dikhususkan penglibatan golongan belia semata-mata, tetapi juga untuk seluruh lapisan masyarakat,” tekannya lagi.

    Variasi sektor program sukarelawan

    Dengan terciptanya Mengalinga ini, insan ini turut menaruh harapan tulus agar ia dapat memberikan akses dan maklumat yang mudah bagi seluruh masyarakat mengenai projek sukarela yang sedang berlangsung di negara ini.

    “Dengan aplikasi ini, kami juga berharap ia akan mewujudkan kemudahan untuk dapat membantu masyarakat dengan lebih mudah termasuklah penyaluran pelbagai sumbangan di mana-mana kawasan yang memerlukan. Oleh itu, melalui aplikasi ini, terdapat banyak sektor yang boleh kita sertai,” sahut beliau dengan penuh harapan dan turut menambah lanjut antara sektor yang dapat disertai melalui aplikasi ini adalah pemuliharaan hijau, hak haiwan, kepemimpinan dan pendidikan.

    Bagaikan ‘one-click solution’

    Selain itu, Dr Muhammad Nuriskandar turut menekankan bahawa aplikasi itu mampu mewujudkan kemudahan bagaikan ‘one-click solution’ khususnya bagi setiap individu yang berhasrat menyertai program-program yang terdapat di dalamnya dari semasa ke semasa.

    Beliau turut menambah menerusi pelancaran aplikasi ini yang diiktiraf oleh pihak kerajaan sememangnya juga akan menjadi mudah untuk mengenal pasti dan memperakui komuniti sukarelawan tanah air kita di atas segala perjuangan mereka dalam menanai pelbagai aktiviti amal tanpa mengenal erti penat dan lelah selama ini. Pada masa yang sama, aplikasi ini juga menyediakan peluang berharga kepada pihak organisasi untuk menawarkan pelbagai aktiviti mereka di bawah satu platform.

    “Bermula dari cetusan idea-idea bernas dari mahasiswa dan mahasiswi UTB yang terlibat dan kini ia sedang dikembangkan dengan lebih baik dan menjadi kenyataan, Alhamdulillah!

    “Sudah semestinya menjadi harapan diri ini dan kami semua amnya untuk menjadikan platform ini sebagai pencetus peningkatan bangsa berjiwa kesukarelawanan dalam mewarnai arena tanah air yang kita cintai ini,” ucapnya dengan ketulusan.

    Progresif tampil ‘mengalinga’

    Sementara itu, Progresif Sdn Bhd, baru-baru ini, juga turut mengongsikan dalam kenyataan media, sebagai sebuah organisasi pertama yang terlibat dalam pelancaran aplikasi Mengalinga. Menerusi aplikasi berkenaan, pihak syarikat akan mengatur program-program kesukarelawanan yang sekali gus memudahkan khususnya bagi orang ramai yang berhasrat untuk mendaftar masuk sebagai suka relawan tanah air.

    Dalam pada itu, apabila adanya penglibatan orang ramai menjadi sukarelawan untuk pelbagai program berkenaan, ia secara tidak langsung dapat membantu semua pihak antara pemohon dan pihak syarikat dan organisasi yang terlibat meliputi aspek persekitaran, keusahawanan, pendidikan, seni dan budaya.

    Dalam pada itu, Progresif Sdn Bhd berbesar hati sebagai salah sebuah rakan kongsi strategik dalam memeriahkan Majlis Sambutan HBK ke-16 lalu iaitu berpeluang menjadi penaja bersama dua video promosi berdurasi 3 minit dan 30 saat semasa berlangsungnya majlis berkenaan, baru-baru ini.

    Menerusi pelaburan rakan kongsi dengan menawarkan pelbagai konsep teknologi digital, keusahawanan, seni dan budaya, industri kreatif, kesuka relawanan dan juga kepimpinan, pihak syarikat juga memiliki harapan tulus bagi sama-sama menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk melahirkan golongan belia yang memiliki jiwa siap siaga yang kental bertepatan dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Belia Siaga Masa Depan’.

    Oleh yang demikian, dengan ada nya usaha sebagai rakan kongsi dalam sama-sama memperkasakan golongan belia tanah air ini, pihak syarikat begitu berharap agar dapat mendorong ge nerasi muda untuk sentiasa menyahut peluang-peluang di depan mata sebaik-baiknya terutamanya dalam bidang industri kreatif, teknologi digital dan keusahawanan menerusi e-dagang sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan Revolusi Perindustrian 4.0 dan juga mengatasi tantangan terutama dalam normal baharu kini.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar menyatakan bahawa adapun tahap kesediaan golongan belia Brunei dalam menempuhi pelbagai cabaran masa depan, sememangnya bergantung kepada kemampuan kita dalam usaha memberikan pendedahan berupa peluang-peluang kepada mereka pada masa kini.

    “Dengan berlakunya situasi pandemik yang tidak dijangka yang menyebabkan majlis ditutup lebih awal, kami dan belia negara pastinya tidak boleh leka atau merasa begitu selesa dan pastinya kita semua mestilah sentiasa bersiap sedia, lebih-lebih lagi dalam berdepan dengan cabaran-cabaran yang sukar dijangka dan berusaha mencari penyelesaian bagi mengatasinya masalah dengan pelbagai cara sebaik mungkin,” tekannya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda