Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aplikasi pelihara industri batik dilancar

    JAKARTA, 29 OKT – Kementerian Perindustrian Indonesia melancarkan beberapa aplikasi seperti Ekosistem Batik dan Kraftangan, Syndi-Synthetical Dyes Idexation dan Motif Batik Digital untuk membantu memelihara dan memperkukuh industri kraftangan batik tempatan, lapor ANTARA.

    Ketua Badan Penilai dan Perkhidmatan Industri kementerian, Andi Rizaldi menjelaskan aplikasi tersebut dicipta untuk mengekalkan identiti negara, memandangkan kain batik telah menjadi sebahagian daripada sejarah Indonesia dan menyumbang kepada kemajuan ekonominya.

    “Batik telah menjadi subsektor industri yang semakin diakui di arena antarabangsa, di mana eksport batik negara mencapai AS$17.5 juta pada 2023,” katanya, kelmarin.

    Selain usaha pemeliharaan melalui pelancaran aplikasi-aplikasi itu, kerajaan turut menekankan kepentingan kerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan.

    Kerjasama dalam pemeliharaan batik boleh dilakukan dengan melibatkan pembekal bahan mentah, pengedar, kerajaan, ahli akademik, pereka, pusat industri kecil dan sederhana serta industri batik lain, kata Ketua Pengarah Industri Kecil dan Sederhana kementerian itu, Reni Yanita.

    “Kerjasama antara ahli-ahli perniagaan dengan bersama-sama memaksimumkan kekuatan mereka akan memberi impak kepada pencapaian matlamat perniagaan yang lebih cekap dan berkesan,” jelasnya.

    Menurut Kementerian Perindustrian, industri batik tempatan menggajikan 200 ribu tenaga kerja di 201 pusat industri dan 5,946 industri kecil dan sederhana yang terletak di 11 wilayah setakat Ogos 2024. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda