KUCHING, 17 NOV – Sarawak hari ini mencapai satu kejayaan penting dalam perjalanan mobiliti hijaunya menerusi pelancaran awal ‘Fast-EV’ iaitu aplikasi pengecasan kenderaan elektrik (EV) pertama yang dibangunkan secara tempatan di negeri itu.
Pelancaran yang diterajui oleh SDEC Karuna JV Sdn Bhd (SKJV) itu turut menyaksikan pembukaan rasmi stesen pengecasan DC (arus terus) Fast-EV berkapasiti 120 kilowatt (kW) di Plaza Merdeka serta sebuah pengecas AC (arus ulang-alik) 22 kW yang berdekatan Hotel The Waterfront.
Dibangunkan sepenuhnya di Sarawak, Fast EV bukan sekadar satu pencapaian teknologi sebaliknya ia melambangkan komitmen berani negeri itu dalam memajukan ekosistem mobiliti yang mampan, digital dan rendah karbon.
“Aplikasi ini membolehkan pengguna mencari, mengaktifkan dan membayar sesi pengecasan EV dengan mudah selain menggabungkan fungsi moden dengan inovasi yang dipacu oleh pihak tempatan,” kata SKJV dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat itu berkata pihaknya diberi tanggungjawab untuk mempercepatkan penerimaan mobiliti elektrik di seluruh negeri dengan memastikan rangkaian pengecas EV yang luas dan boleh dipercayai terutamanya di sepanjang laluan antara bandar yang menghubungkan pusat populasi dan ekonomi utama. – Bernama

