Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Berikutan dengan perubahan dalam proses perkhidmatan di Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) sejak dua minggu kebelakangan ini, beberapa inisiatif telahpun diusahakan bagi mengurangkan kesesakan pengunjung ke kaunter dan cawangan JPD termasuk usaha meningkatkan penggunaan perkhidmatan dalam talian, Pay and Collect dan Talian Darussalam 123.
Walau bagaimanapun, memang diakui masih terdapat kekurangan khususnya dalam memastikan keselesaan orang awam termasuklah satu percubaan untuk mengadakan perkhidmatan secara pandu lalu di cawangan-cawangan JPD.
“Bagi pihak JPD dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, saya ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul daripadanya,” kata Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof dalam Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Dalam hal tersebut juga, Yang Berhormat Dato mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kerjasama dan pandangan yang telah diberikan setakat ini khususnya membuat permohonan-permohonan bagi membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan melalui dalam talian yang mana telahpun menunjukkan perkembangan yang menggalakkan.
“Alhamdulillah, terdapat perkembangan yang menggalakkan iaitu peningkatan purata mingguan daripada 68 permohonan secara dalam talian kepada 351 permohonan iaitu peningkatan sebanyak lima kali ganda bermula 21 Mac 2020; daripada jumlah keseluruhan permohonan sebanyak kira-kira 1,000 hingga 2,000 permohonan sehari,” kongsi Yang Berhormat Dato.
Dalam hal tersebut juga, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) dan JPD, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi ada menyediakan sistem tempahan perjanjian bagi membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu melalui aplikasi QueUp yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store bagi pengguna iOS dan juga Google Play Store bagi pengguna Android mulai hari ini (20 April).
“Penyediaan sistem tempahan perjanjian bagi membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu melalui aplikasi QueUp ini adalah untuk keselesaan dan kemudahan orang ramai membuat urusan sama ada di Pusat Memproses Mel dan Bungkusan, JPP dan juga di JPD,” jelas Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
