Oleh Haniq Raffael
PERUBAHAN teknologi yang ada pada ketika ini telah banyak merubah sesuatu yang lazim kita alami. Perubahan itu begitu ketara apabila tibanya musim perayaan terutama sekali apabila tibanya Hari Raya Aidilfitri. Jika pada era 70an, apabila tibanya bulan Ramadan dan hampir menjelangnya Syawal, pastinya kita akan terkenang kerajinan dan keasyikan kita menanti ketibaan posmen untuk memasukkan kad ucapan Hari Raya ke dalam peti surat kita.
Namun pada hari ini, menerima kiriman kad Hari Raya daripada sahabat atau kenalan sudah menjadi lebih unik dan luar biasa. Kad ucapan Hari Raya Aidilfitri telah mengalami revolusi yang mana lebih kreatif dan inovatif. Sejak dahulu lagi, kad raya memainkan peranan penting di mana masyarakat sejak awal bulan Ramadan lagi, sudah kelihatan pergi ke kedai untuk membeli kad raya yang bersesuaian.
Kad ucapan raya semakin lenyap
Sebelum wujudnya ledakan teknologi, setiap kali pertengahan Ramadan, kita akan pergi ke Pejabat Pos, berdiri dan berbaris untuk membeli setem. Kita tulis alamat sahabat atau kenalan di sampul kad raya dengan jelas. Kemudian kita akan tampal setem di sudut kanan sebelah atas sampul kad raya serta memasukkannya ke dalam peti surat untuk dihantar kepada penerimanya.
Kini, kad ucapan dalam bentuk kertas bercetak mulai lenyap dalam kehidupan moden, walaupun masih ada terjual kad-kad raya berbentuk kertas namun ianya tidak lah seghairah dan sebanyak di era 70an dan 80an dengan pelbagai pilihan serta kata-kata yang puitis. Bagaimanapun ia masih berlegar dalam skala kecil dalam kalangan keluarga.
Kehidupan moden yang bergerak pantas, memalaskan sesetengah anggota masyarakat untuk melalui proses menghantar kad secara tradisional. Ini kerana mereka memerlukan masa tambahan untuk membeli kad, membeli setem, menulis dalam kad, menulis alamat penerima, menutup sampul, menampal setem dan seterusnya memasukkan kad-kad ke dalam peti surat di Pejabat Pos.
Mereka yang berusia empat puluhan ke atas, mungkin masih terikat dengan nostalgia pengiriman kad-kad Hari Raya. Namun dalam kalangan anak muda, mereka tidak mengalami keunikan tradisi masa lampau itu, kerana mereka hidup dalam zaman teknologi digital.
Tradisi baharu
Perubahan teknologi sedang menghidupkan suatu tradisi baharu dan perlahan-lahan melupakan tradisi yang lama. Di tangan atau di hadapan anak-anak muda sekarang tersedia peranti media sosial dan Internet. Peranti ini juga sedang meluaskan pengaruhnya kepada generasi yang lebih berumur, kerana kecepatan serta keberkesanan jaringan komunikasinya. Bahkan untuk mengirimnya kepada seseorang ia tidak memakan waktu dan terpaksa menanti beberapa hari untuk di penerima menerimanya. Dengan adanya teknologi yang canggih ini untuk mengirim ucapan Hari raya atau apa jua jenis ucapan hanya di hujung jari sahaja tanpa menunggu masa.
Telefon mudah alih serta Internet mula digunakan dengan meluas oleh anggota masyarakat kita. E-mel adalah kaedah perhubungan yang pantas. Kita juga boleh mewujudkan rangkaian kelompok tersendiri umpamanya melalui WhatsApp, Instagram dan Telegram. Melalui aplikasi rentas-platform ini kita lebih mudah mengelompokkan senarai nama sahabat yang boleh kita hubungi bila-bila masa dan di mana-mana jua.
Inilah media yang sedang mengambil alih peranan kad-kad ucapan. Pengirim yang sibuk mungkin hanya menghantar teks ucapan. Ada kalanya teks ucapan itu hanya disalin dan dihantar semula. Yang lebih rajin mungkin menggunakan e-card yang disediakan. Yang lebih kreatif mungkin mencipta e-card sendiri, berserta ungkapan yang dicipta khas kepada penerimanya malahan bagi yang malas hendak membuat semua itu cuma perlu membuat panggilan melalui video di telefon bimbit mereka.
Teknologi dan gaya hidup berubah. Akan tetapi kita harus memanfaatkan apa jua teknologi yang ada untuk menyambung silaturahim, umpamanya dengan cara menghantar ucapan kepada sahabat dan kenalan. Tujuan mempererat serta melestarikan silaturahim, termasuk dalam musim perayaan ini, adalah lebih penting daripada peranti yang kita gunakan. Walau sekecil buku nota saiznya sekalipun, ucapan yang ditulis dengan tulisan tangan mampu melembutkan hati yang menerimanya sekali gus meleraikan segala sengketa.
Bait-bait ucapan itu juga menzahirkan keikhlasan seseorang dalam mengucapkan kata maaf selain bertanya persiapan menyambut hari lebaran.
Malah, tiada siapa dapat menyangkal betapa sekeping kad raya mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding harga yang dibayar untuk membelinya.
Ramadan bakal beransur pergi,
Syawal menjelma di Aidilfitri,
Seikhlas hati menyusun jari,
memohon di maaf kekhilafan diri,
Salam Aidilfitri, maaf zahir batin.