NEW YORK, 5 MEI – Penyelidik dari Kolej Dartmouth percaya kecerdasan buatan (AI) boleh menawarkan psikoterapi yang boleh dipercayai, membezakan kerja mereka daripada aplikasi kesihatan mental lain yang terbukti tidak berkesan serta meragukan.
Aplikasi mereka, Therabot, dibangunkan bagi menangani kekurangan tenaga profesional kesihatan mental.
Menurut Nick Jacobson, Penolong Profesor Sains Data dan Psikiatri di Dartmouth, meskipun bilangan ahli terapi digandakan sepuluh kali ganda tetapi hal itu masih tidak cukup untuk memenuhi permintaan semasa.
“Kita perlukan pendekatan berbeza untuk memenuhi keperluan besar ini,” katanya kepada AFP.
Pasukan Dartmouth baru-baru ini telah menerbitkan kajian klinikal yang menunjukkan keberkesanan Therabot dalam membantu individu yang mengalami kebimbangan, kemurungan dan gangguan pemakanan.

Satu ujian baharu turut dirancang bagi membandingkan keberkesanannya dengan terapi konvensional.
Kumpulan perubatan nampaknya terbuka dengan inovasi itu. Pengarah Kanan Inovasi Penjagaan Kesihatan di Persatuan Psikologi Amerika (APA), Vaile Wright menggambarkan masa depan di mana chatbot berasaskan AI yang dibangunkan bersama pakar akan digunakan khusus untuk menangani isu kesihatan mental.
Wright mengakui aplikasi itu mempunyai potensi besar, terutamanya jika dibangunkan secara beretika, tetapi beliau masih bimbang tentang potensi risiko yang akan timbul kepada pengguna muda.
Pasukan Jacobson telah mengambil masa hampir enam tahun untuk membangunkan Therabot dengan fokus kepada keselamatan dan keberkesanan.
Rakan projek dan pakar psikiatri, Michael Heinz percaya mengejar keuntungan secara tergesa-gesa akan menjejaskan keselamatan.
Pendekatan secara teliti ini boleh menjadikan Therabot berbeza dalam pasaran aplikasi tidak diuji yang kononnya menawarkan rawatan kepada kesunyian dan kemurungan.
FDA turut mengakui ‘terapi kesihatan mental digital berpotensi meningkatkan akses pesakit kepada rawatan tingkah laku.’ – AFP