Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    APMM Labuan seimbangkan penguatkuasaan, pemulihan ekonomi

    LABUAN, 27 DIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan akan memainkan peranan aktif sebagai agensi penguatkuasaan bagi mengimbangi tugasnya serta kesejahteraan ekonomi di pulau bebas cukai itu.

    Pengarahnya Kapten Nudin Jusoh berkata agensi itu akan terus menguatkuasakan undang-undang berkaitan maritim demi kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.

    “Tugas yang amat sukar dan kompleks untuk mengimbangi kesejahteraan ekonomi dan penguatkuasaan adalah cabaran utama…bagaimanapun, kita perlu pastikan penguatkuasaan tidak akan memberi kesan ketara kepada ekonomi.

    “Penting untuk pemain industri maritim mematuhi undang-undang maritim sedia ada dan sentiasa memaklumkan kepada APMM sebarang bantuan yang diperlukan berkaitan aktiviti maritim untuk kelancaran  operasi,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri taklimat mengenai aktiviti pemindahan kapal ke kapal oleh Victoria STS Sdn Bhd di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Nudin berkata aktiviti pemindahan kargo dari kapal ke kapal di perairan Labuan perlu diberi perhatian berikutan limpahan ekonominya pada ekonomi di pulau itu.

    “Kami telah mendengar taklimat mengenai aktiviti pemindahan kargo kapal ke kapal oleh Victoria STS dan akan memberi kerjasama untuk kelancaran operasi, dan pengendali harus mematuhi sepenuhnya standard keselamatan dan keperluan lain yang berkaitan.

    “Oleh kerana aktiviti kapal ke kapal oleh Victoria STS diiktiraf dan diluluskan kerajaan, kami boleh membantu memantau aktiviti itu dan sekitarnya,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda