LABUAN, 1 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan menahan sebuah feri roll on-roll off (ro-ro) yang membawa kenderaan dan penumpang di kedudukan 2 batu nautika Barat Laut Pulau Daat di sini hari ini.
Tindakan penahanan terhadap feri ro-ro adalah yang pertama oleh APMM Zon Maritim Labuan dalam tempoh lebih 10 tahun lepas dan ketika ditahan pada 11:15 pagi tadi, feri terbabit sedang dalam perjalanan dari Terminal Feri Labuan ke Terminal Feri Menumbok.
Pengarah APMM Zon Maritim Labuan Kapten Nudin Jusoh berkata pemeriksaan pada 11 pagi oleh anggota APMM yang menjalankan Op Sejahtera, Op Khas Kuda Laut dan Op Tiris serta Op Bersepadu bersama pegawai Jabatan Laut mendapati feri berkenaan gagal melaporkan berkenaan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan dan sijil penumpang tamat tempoh.
Beliau berkata feri itu dikendalikan oleh nakhoda warga Filipina berusia 63 tahun dan empat kru tempatan berusia antara 20 hingga 67 tahun.
Menurut Nudin, semua kenderaan dan penumpang dibenarkan turun di Terminal Feri Menumbok sebelum feri, nakhoda dan kru dibawa ke Jeti APMM Zon Maritim Labuan
untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. – Bernama
