TAWAU, 20 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas sebuah bot kargo dengan muatan hampir 3,000 kilogram (kg) barang kawalan berupa gula dan minyak masak yang diangkut tanpa permit, di kawasan perairan Tanjung Batu di sini dua hari lepas.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata bot kargo itu dikesan oleh kapal peronda KM Medang yang menjalankan Ops Pagar Laut, sedang bergerak dari arah Jeti Makmur menuju ke Pulau Sebatik pada 6 petang.
“Sebanyak 2,110 kilogram gula pasir serta 820 kilogram minyak masak berpaket ditemukan di dalam bot berkenaan, pemeriksaan mendapati bot kargo itu dikendalikan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama seorang pembantu lelaki warganegara Indonesia berumur 25 tahun.
“Juragan bot gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan hanya mempunyai dokumen pengikraran barangan runcit ke Pulau Sebatik, anggaran nilai rampasan RM40,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Shahrizan berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – Bernama
